Yadim bantu mangsa banjir Hulu Langat

Marzuk (tiga dari kanan) hadir menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir Hulu Langat hari ini.
Marzuk (tiga dari kanan) hadir menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir Hulu Langat hari ini.
A
A
A

HULU LANGAT - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) hari ini menyalurkan 300 set makanan kepada penduduk daerah itu yang terjejas banjir dalam kejadian pada 3 November lalu.

Secara keseluruhan sejumlah RM35, 000 bantuan disalurkan kepada penduduk hasil sumbangan bersama Yayasan Taqwa, Yayasan Waqaf, Jabatan Waqaf Zakat dan Haji (Jawhar).

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary.

Marzuk berkata, beliau meminta kerajaan Pusat dan negeri dapat memberikan fokus dalam menyelesaikan insiden banjir berulang itu.

"Banjir kilat ini banyak kali berlaku dan saya harap agensi terlibat termasuk kerajaan Pusat dan negeri menjaga kebajikan rakyat di kawasan ini.

"Setiap kali berlakunya hujan lebat walaupun dalam tempoh sekejap tetapi memusnahkan banyak harta benda yang melibatkan kerugian mencecah jutaan ringgit.

"Perkara ini perlu dititikberatkan termasuk keperluan menaik taraf sistem perparitan bagi atasi masalah ini," katanya kepada pemberita selepas hadir dalam program penyerahan bantuan mangsa banjir di Kompleks Tarbiyah, Kg. Darul Hidayah (Komta) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Waqaf, Profesor Madya Dr Amir Shaharuddin, CEO Yadim, Kamarul Arief Tuan Soh, Pengurus Besar Yayasan Taqwa, Zabidi Nassan dan Ketua Pengarah Jawhar, Ruslan Said.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis sama, Marzuk turut mengunjungi beberapa kediaman penduduk terjejas dan menyampaikan bantuan.

Beliau turut menyampaikan bantuan banjir kepada penduduk terjejas di Pusat Khidmat Komuniti Batu 6 di Bangi Lama.

Sekurang-kurangya 1,000 kediaman ditenggelami air susulan limpahan Sungai Langat termasuk kawasan terjejas adalah Lui, Kampung Perdik, Batu 18, Batu 17, Batu 16, Batu 14, Batu 13, Batu 10 dan Dusun Nanding.