Allahyarham Mohamed Sabri tinggalkan legasi kepada TLDM

A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemergian Allahyarham Komander (B) Mohamed Sabri Baharom meninggalkan sebuah legasi terhadap cawangan udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, Mohamed Sabri, 56, telah berkhidmat lebih 30 tahun.

"Beliau merupakan sahabat saya, arwah telah menetapkan standard penerbangan yang sangat tinggi dan menjadi ikutan kepada mereka yang masih berkhidmat dengan TLDM," katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah hari ini.

Mohd Reza berkata, walaupun arwah telah meninggalkan TLDM kira-kira 10 tahun lalu, namun beliau mengambil berat mengenai apa yang berlaku dalam TLDM khususnya terhadap cawangan udara.

"Beliau antara individu yang terawal menceburi bidang penerbangan di TLDM. Ramai anak murid beliau datang ke tanah perkuburan ini untuk memberikan penghormatan terakhir,” katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Mohamed Sabri selamat dikebumikan pada jam 2.20 petang.

Pengebumian beliau dihadiri oleh keluarga dan kenalan terdekat termasuk pegawai TLDM.

Dalam nahas semalam, Mohamed Sabri bersama Mohd Irfan Fikri Mohd Rawi maut selepas helikopter dinaiki terbabit kemalangan di udara dengan sebuah lagi helikopter sebelum terhempas di Jalan Melawati, Ampang.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun dua orang terselamat dalam kejadian itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan Tan Chai Eian.