Pejuang dalam dilema mahu sokong Belanjawan 2021

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa kini berada dalam dilema sama ada untuk menyokong Belanjawan 2021 atau tidak

Menurut kenyataan parti itu hari ini, sekiranya menyatakan pendirian menyokong belanjawan tersebut, ahli-ahli Parlimen Pejuang berasa seperti mereka mengabaikan kepentingan awam kerana belanjawan itu rata-rata bersifat populis tanpa mengambil kira kepentingan rakyat dan hala tuju ekonomi negara.

Katanya, untuk tidak menyokong, mereka akan dituduh bermain politik ketika keadaan negara terdesak akibat daripada wabak koronavirus (Covid-19).

"Selain itu, kami juga akan dituduh tidak taat kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Amatlah malang pihak kerajaan kelihatannya tidak ikhlas terhadap sikap prihatin Seri Paduka Baginda yang bimbang jika belanjawan tidak lulus, maka negara akan menghadapi masalah kecairan untuk mentadbir," katanya.

Pendirian Pejuang berhubung Belanjawan 2021.
Pendirian Pejuang berhubung Belanjawan 2021.

Kenyataan sama menyebut, sebaliknya, apa yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan ialah menggunakan titah Yang di-Pertuan Agong sebagai satu 'blank cheque' untuk memasukkan beberapa aspek ke dalam belanjawan itu yang menjurus kepada keuntungan politik dan mengetepikan kepentingan awam.

"Peruntukan yang begitu besar kepada agensi propaganda Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) juga salah satu simptom yang jelas meletakkan kepentingan politik mengatasi kepentingan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kami melihat belanjawan yang dibentang sebagai tidak menghayati semangat titah Yang di-Pertuan Agong yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik," kata kenyataan itu.

Menurut Pejuang, mereka berharap aspek-aspek belanjawan yang digusarkan dan ditimbulkan oleh rakyat, pakar-pakar ekonomi, pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja, penganalisa-penganalisa, pemimpin-pemimpin badan bukan kerajaan, ahli-ahli akademik dan anggota-anggota masyarakat yang lain akan dapat dinilai, diperbetulkan dan jika perlu dibatalkan.

Katanya, jika itu dapat dilakukan, maka Pejuang bersedia memberikan sokongan kepada Belanjawan 2021.