LPT3: Kelantan cadang dua pelaksanaan

Status semasa bagi pelaksanaan kerja-kerja pembinaan LPT3 adalah di peringkat kerja-kerja awalan iaitu ukur, SI dan penyediaan laporan awalan untuk keseluruhan jajaran dari Gemuruh ke Pengkalan Kubor.
Status semasa bagi pelaksanaan kerja-kerja pembinaan LPT3 adalah di peringkat kerja-kerja awalan iaitu ukur, SI dan penyediaan laporan awalan untuk keseluruhan jajaran dari Gemuruh ke Pengkalan Kubor.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri mencadangkan dua pelaksanaan melibatkan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) yang bermula dari Gemuruh sehingga ke Pengkalan Kubor.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Sr Azami Mohd Nor berkata, cadangan pertamanya ialah pelaksanaan jajaran LPT3 sehingga ke Kawasan Perindustrian Tok Bali sepanjang 100 kilometer dengan anggaran kos RM3 bilion.

“Selain itu, menaik taraf jalan FT482 dari Tok Bali ke Pasir Puteh sepanjang15 kilometer dengan anggaran kos RM450 juta.

“Cadangan kedua pula ialah memberi pilihan kepada pelaksanaan projek secara Private Financial Invesment (PFI) bagi keseluruhan jajaran iaitu bermula daripada Gemuruh, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Kelantan sepanjang 155 kilometer dengan anggaran kos RM4.34 bilion,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini.

Terdahulu, beliau menjawab soalan diajukan oleh Datuk Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) berkenaan perkembangan terkini projek-projek seperti LPT, CSR dan ECRL di Kelantan.

Mengulas lanjut katanya, status semasa bagi pelaksanaan kerja-kerja pembinaan LPT3 adalah di peringkat kerja-kerja awalan iaitu ukur, SI (site investigation) dan penyediaan laporan awalan untuk keseluruhan jajaran dari Gemuruh ke Pengkalan Kubor.

Perkara tersebut dijangka siap pada April 2022 dengan peruntukan yang telah diluluskan sebanyak RM30 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Sementara itu, dalam perkembangan lain, untuk status semasa Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai pula terdapat dua projek dalam perancangan dan akan dipohon dalam RMK12 iaitu Pakej 1A Wakaf Che Yeh ke Pasir Hor dan Lebuhraya Rakyat, Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat dua projek dalam peringkat perolehan iaitu Pakej 2C Kok Lanas ke Machang dan Pakej 3A Machang ke Bukit Tiu manakala satu projek dalam peringkat pembinaan iaitu Pakej 2BL Ketereh ke Kok Lanas dijangka siap pada Ogos tahun depan.

“Dua projek telah disiapkan iaitu Pakej 1B Pasir Hor ke Kadok dan Pakej 2A Kadok ke Ketereh. Untuk status semasa Central Spine Road pula ialah enam projek dalam peringkat perancangan dan akan dipohon dalam RMK12.

“Ia meliputi Pakej 1 Kuala Krai ke Jambatan Sungai Rakit yang melibatkan lima seksyen dan Pakej 3A Gua Musang ke Kampung Relung Seksyen 3A Gua Musang East-West Link.

“Terdapat dua projek dalam peringkat perolehan iaitu Pakej 2 Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang yang melibatkan dua seksyen. Dua projek dalam pembinaan iaitu Pakej 3 Gua Musang ke Kampung Relong yang melibatkan tiga seksyen,” katanya.