Kes keganasan rumah tangga meningkat sejak PKP

Dr Siti Mariah (tengah) bersama beberapa ADUN Selangor ketika sidang media Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita 2020 di Foyer Dewan Annex hari ini.
Dr Siti Mariah (tengah) bersama beberapa ADUN Selangor ketika sidang media Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita 2020 di Foyer Dewan Annex hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kadar kes keganasan rumah tangga di Selangor mencatatkan peningkatan mendadak sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) September lepas.

Exco Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sebanyak 4,872 panggilan telah diterima menerusi panggilan dan mesej melalui apilkasi WhatsApp di WAO Hotline dan 'Talian Think I Need Aid' atau TINA.

"Menyedari keperluan tempat perlindungan kecemasan yang diperlukan oleh mangsa keganasan rumah tangga sepanjang tempoh PKP dan PKPB ini semakin meningkat, kerajaan negeri melalui Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga telah bekerjasama dengan WAO di bawah Program Komuniti Selamat Bersepadu bagi membiayai kos perkhidmatan bantuan krisis bagi penduduk di negeri ini seperti perubatan tempat tinggal pengangkutan, makan minum dan panggilan telefon.

"Sepanjang bulan April sehingga Jun 2020, sebanyak 31 orang telah dilindungi dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM11,466,50. Daripada 31 orang mangsa; 16 orang adalah wanita, enam kanak-kanak lelaki, lima kanak-kanak perempuan, empat bayi lelaki dan dua bayi perempuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita 2020 di Foyer Dewan Annex hari ini.

Dalam pada itu, Dr Siti Mariah berkata, menjelang Sambutan 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender yang akan disambut pada 25 November hingga 10 Disember setiap tahun itu, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga pada hari ini mengadakan Siri Pra-Pelancaran Sambutan 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender sebagai langkah advokasi kepada masyarakat umum di negeri ini.

"Kempen ini bermula di peringkat pentadbiran kerajaan negeri yang telah disokong oleh semua semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dan semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Tempatan dengan bersama-sama mengangkat plakad slogan 'Hentikan Keganasan, Hormat Wanita'.

"Kempen turut diisi dengan memakai pelitup muka berwarna oren yang menjadi warna tema bagi kempen ini sebagai tanda solidariti dan kebersamaan dalam kempen hentikan keganasan terhadap wanita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, semua warga Selangor diharap dapat bersama-sama menyemarakkan minggu kempen kesedaran sekali gus memastikan agar jumlah kes keganasan rumah tangga dapat dikurangkan dan kesejahteraan serta kemakmuran di negeri ini terus terpelihara.