Hina Agong: Ambil tindakan segera, jangan bagi muka!

Sebahagian NGO dan agensi kerajaan yang membuat laporan.
Sebahagian NGO dan agensi kerajaan yang membuat laporan.
A
A
A

KUANTAN - Kira-kira 20 agensi kerajaan, NGO dan parti politik telah membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun laman sosial Facebook yang didakwa telah mengeluarkan kenyataan biadab dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kadi daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain berkata, kenyataan seumpama itu tidak sewajarnya dibuat oleh rakyat di negara ini.

“Baginda tidak pernah mengusik kita, justeru sudah tentu kita tidak boleh mengeluarkan yang biadab seperti itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Daerah Polis Kuantan, hari ini.

Antara Ngo yang membuat laporan, PERKIM, ABIM, WADAH, Malaysia Relief Agency Negeri Pahang, Pertubuhan Ikatan Amal Islami Negeri Pahang, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Negeri Pahang, Haluan Pahang, Isma Pahang dan Rumah perkampungan Ibadah Warga Emas Islam Raub.

Selain itu, Ikatan Pelajar Islam Pahang; Pertubuhan Akademi Pendidikan Indera Mahkota; Masjid Negeri, Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang, Yayasan Gerak Mesra Pahang,Gerakan Anak Melayu Pahang, Persatuan Sahabat Tahfiz al Falah Raub dan beberapa agensi kerajaan.

Semalam, seorang individu telah memuat naik satu posting beserta gambar yang keterlaluan merujuk kepada pertabalan yang Dipertuan Agong.

Menyentuh perkara itu, Abdul Zaki berkata, pihaknya mahu tindakan segera diambil ke atas individu terbabit.

“Ia bukan sahaja memberi kesan kepada baginda tetapi keseluruhan rakyat jelata. Henti permainkan isu begini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Kuantan, Mohd Shahril Abdullah berkata, pihaknya mengecam perbuatan biadab individu terbabit.

Justeru, pihaknya mahu Peguam Negara mengambil tindakan segera terhadap pemilik akaun Facebook terbabit, selepas laporan dibuat.

“Kita tak mahu permohonan maaf secara terbuka dibuat, jangan bagi peluang kerana kami sudah bosan dengan ungkapan itu dan sejujurnya tiada maaf bagi mu.

“Jadi, kalau Peguam Negara tidak dapat menyelesaikan masalah ini, sebaiknya tukar sahaja peguam lain. Lakukan undang-undang seperti negara lain yang mengenakan hukuman penjara kepada individu hina raja ataupun Sultan,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, siasatan segera akan diambil terhadap laporan yang telah dibuat oleh pihak berkenaan.

“Kita akan cuba sebaik mungkin dengan berkolaborasi dengan agensi lain termasuk Polis di Bukit Aman untuk mengesan siapa pemilik akaun itu.

“Tapi pihak kita akan beri keutamaan kepada laporan ini,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan perbuatan terbabit.