X

Kindly register in order to view this article
!

Belanjawan 2021 tidak adil untuk rakyat Sabah: Mohd Azis

Datuk Mohd Azis Jamman
A
A

KOTA KINABALU - Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman menyifatkan langkah kerajaan Persekutuan mengurangkan peruntukan dalam Belanjawan 2021 kepada Sabah sebagai tindakan tidak adil kepada rakyat di negeri ini.

Malah beliau yang juga Ketua Wira Parti Warisan (Warisan) Sabah menganggap bahawa rakyat di negeri ini seperti dianaktirikan walaupun pelbagai janji ditabur pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Menurutnya, pembentangan Belanjawan 2021 Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah sama sekali tidak seperti yang diharapkan oleh rakyat Sabah, malah lebih malang sekali apabila peruntukan geran khas kepada negeri ini juga dipotong.

"Pada PRN Sabah antara kempen utama menteri kerajaan Persekutuan yang menyebut kononnya untuk memastikan kesejahteraan dan pembangunan di Sabah terjamin, kerajaan negeri dan Persekutuan harus sealiran dari segi politik.

"Hari ini, kerajaan negeri dan Persekutuan telah sealiran, namun apa yang berlaku adalah hadiah kerajaan PN kepada rakyat Sabah sebaliknya tidak meneruskan komitmen kerajaan Persekutuan sewaktu zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah melalui pemberian geran khas yang sepatutnya meningkat kepada RM106. 8 bilion lima selepas lima tahun tetapi dikurangkan kepada jumlah asal RM26.7 juta sahaja," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohd Azis turut berkata, pembentangan belanjawan kali ini juga menyaksikan peruntukan pembangunan untuk Sabah menyusut apabila hanya RM5.1 bilion akan disalurkan berbanding RM5.2 bilion yang disalurkan oleh kerajaan PH sebelum ini.

"Saya melihat langkah kerajaan PN ini sebagai satu lagi tindakan yang tidak adil serta berat sebelah kepada rakyat Sabah dan seolah-olah menganaktirikan rakyat Sabah walaupun pelbagai janji ditabur kononnya Kerajaan Persekutuan tidak akan mengabaikan kebajikan rakyat Sabah," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar turut menyatakan rasa kecewa ketika peruntukan untuk Sabah dikurangkan, kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memperuntukkan sejumlah RM81 juta lebih bagi menghidupkan semula unit propaganda milik kerajaan iaitu Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

"Unit ini sememangnya diketahui umum adalah satu pembaziran wang rakyat kerana dilihat sekadar menjadi alat untuk kerajaan dalam menyampaikan dakyah dan propaganda politik semata-mata.

"Jadi saya mengecam dan membantah sama sekali langkah kerajaan Persekutuan memotong peruntukan geran khas dan pembangunan untuk Sabah ini," katanya.

Mohd Azis berkata, kerajaan tidak memikirkan mengenai kebajikan rakyat sebaliknya mereka cuma memikirkan cara untuk terus berkuasa.

"Saya menggesa kerajaan Persekutuan supaya lebih peka dan prihatin terhadap kesengsaraan serta kesusahan dihadapi oleh rakyat ketika ini yang punca pendapatan.

"Saya menggesa supaya wang sebanyak RM81 juta lebih itu disalurkan untuk tujuan menjaga kebajikan rakyat khususnya rakyat Sabah yang teruk terjejas akibat Covid-19," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!