Tender projek bina sekolah St Thomas akan dibuka

Sesi dialog bersama warga St.Thomas di SMK Abu Bakar Kuantan
Sesi dialog bersama warga St.Thomas di SMK Abu Bakar Kuantan
A
A
A

KUANTAN - Penantian warga sekolah St.Thomas untuk memiliki bangunan sendiri sejak 13 tahun lalu, bakal berakhir apabila Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan tender projek pembinaan sekolah tersebut akan dibuka, tahun ini.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, KPM menyedari keperluan sekolah tersebut, sama ada Sekolah Kebangsaan dan Menengah bagi memastikan keselesaan para pelajar dan guru akan terbela.

Menurutnya, beliau juga akan memastikan pemilihan tender projek tersebut akan ditawarkan secara tender terbuka.

"Saya datang untuk memahami isu ini. Amat penting sebuah sekolah ada bangunan sendiri untuk memastikan mutu pendidikan dan kokurikulum para pelajar akan terus ditingkatkan sekali gus memacu kejayaan anak-anak murid kita.

"Saya beri jaminan bahawa tender untuk sekolah ini, akan dibuka pada tahun ini. Kita pandang serius isu pendidikan dan akan buat yang terbaik untuk pelajar dan sekolah-sekolah kita. Projek ini saya akan bawa ke dalam mesyuarat pastikan projek ditender pada tahun ini. Sekali lagi saya tegaskan, ia tender terbuka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog bersama warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Thomas di sini, hari ini.

Nie ching (dua, kanan) dan Fuziah (tiga, kanan) menerima dokumen dari Suthakar (kiri)
Nie ching (dua, kanan) dan Fuziah (tiga, kanan) menerima dokumen dari Suthakar (kiri)

Pada masa ini, SMK St Thomas menumpang bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar dan mempunyai 240 pelajar.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang juga Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Bentong, Wong Tuck; Adun Bilut, Lee Chin Chen; Adun Teruntum, Sim Chon Siang, Pengetua, P. Murugan: Yang Dipertua PIBG, Norzaini Mohamad Nor dan wakil alumni, K. Suthakar.

Dalam pada itu, Nie Ching memberitahu KPM menerima laporan terdapat pihak yang menyamar sebagai pegawai daripada KPM, meminta komisen daripada kontraktor berhubung pemilihan tender projek pembinaan sekolah tersebut baru-baru ini.

"KPM telah menerima aduan tersebut. Saya yang menerima aduan itu dan kami telah membuat siasatan.

"Saya nasihati sekolah sekolah atau PIBG bahawa semua projek pembinaan di bawah KPM akan dibuat menerusi tender terbuka. Jangan mudah terpedaya. Jangan percaya kalau ada yang kata dia pegawai KSU, pegawai saya dan minta kontraktor bayar komisen.

"Kalau ada perkara ini berlaku, maklumkan saya kita sama sama buat laporan ke SPRM," tegasnya.

Tender terbuka projek pembinaan Sekolah St Thomas

Posted by Sinar Harian Edisi Pahang on Friday, February 1, 2019