X

Kindly register in order to view this article
!

Ironi sebalik Pilihan Raya Presiden AS

Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-59 yang telah diadakan pada 3 November 2020 merupakan salah satu pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah AS.
A
A

Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-59 yang telah diadakan pada 3 November 2020 merupakan salah satu pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah AS.

Calon yang bertanding adalah Donald Trump dari parti Republikan selaku penyandang jawatan Presiden AS dan Joe Biden, mantan Timbalan Presiden AS ketika pentadbiran Presiden Barak Obama adalah calon parti Demokrat.

AS sering kali menonjolkan imej pejuang demokrasi dan keadilan di peringkat antarabangsa namun pada Pilihanraya Presiden AS kali ini telah jelas menunjukkan kelemahan dalam sistem pilihan raya AS.

Pertama, selepas tiga hari proses pengiraan masih belum selesai. Kelewatan ini berpunca daripada pengundian pos akibat Covid-19. Ramai warga AS telah memilih untuk mengundi secara pos bagi mengelak daripada keluar secara fizikal dan mengurangkan kesesakan.

Objektif pengundian secara pos adalah baik namun ia telah melewatkan proses pengundian. Selain itu, AS sebagai sebuah negara maju seharusnya mempunyai mekanisme yang lebih canggih bagi mempercepatkan pengiraan undi pos.

Kedua, Trump telah mengisytiharkan kemenangan walaupun keputusan rasmi belum dikeluarkan. Trump telah membuat permohonan kepada Mahkamah Agung AS untuk menghentikan semua pengiraan undi di negeri Pennsylvania. Pada masa yang sama beliau juga enggan menerima keputusan kekalahannya di beberapa negeri misalnya di Wisconsin, North Carolina dan Minnesota.

Trump telah mendakwa berlaku penipuan secara berleluasa oleh parti Demokrat sehingga menyebabkan beliau tewas. Bagaimanapun kenyataan sedemikian hanya menunjukkan sikap Trump tidak ‘gentleman’ kerana tidak mampu menerima kekalahan. Sebagai seorang negarawan, beliau seharusnya mengikut lunas undang-undang yang memperuntukkan proses rayuan serta semakan.

Namun Trump telah memilih untuk mengisytiharkan kemenangan secara unilateral serta mahukan pengiraan undi dihentikan. Beliau bukan sahaja tidak akur dengan keputusan malah telah berjanji untuk terus memegang jawatan yang disandang.

Tindakan sedemikian jelas bertentangan dengan nilai-nilai demokrasi. Apa yang menghairankan perkara ini telah berlaku di AS yang selama ini memperjuangkan demokrasi. Apakah perbezaan antara tindakan Trump dengan sesetengah pemimpin yang dicap sebagai ‘diktator’ seperti tentera Myanmar yang enggan menerima kekalahan pada pilihan raya 1988?

Ketiga, apa yang membimbangkan rusuhan dan demonstrasi jalanan yang dijangka berlaku sudah pun bermula di beberapa bandar utama AS seperti New York, Boston, Seattle, Philadelphia, Portland, Las Vegas dan Chicago antara penyokong Joe Biden dengan Trump.Bagi penyokong Joe Biden mereka mahukan Trump menerima kekalahan dan berundur manakala penyokong Trump meminta agar proses pengiraan undi dihentikan kononnya berlaku penipuan.

Ada di antara penyokong Trump yang menggelar diri mereka sebagai ‘patriot’ dilengkapi dengan senjata automatik dan mereka berjanji akan mempertahankan jawatan Trump sehingga titisan darah terakhir.

Rasis

Keempat, Joe Biden dijangka memenangi Pilihanraya Presiden AS dengan majoriti yang tipis. Ini bererti ramai warga AS yang masih menyokong Trump walaupun beliau bersikap rasis terhadap golongan migran secara terbuka. Malangnya beliau gagal untuk memahami asal-usul kebanyakan penduduk AS merupakan migran termasuk isterinya, Melania seorang migran berasal dari Slovenia.

Selain itu, antara punca penularan virus Covid-19 menjadi sangat serius di AS adalah kegagalan dan kelewatan pentadbiran Trump untuk membendungnya pada peringkat awal. Malah pada bulan Januari apabila virus Covid-19 mula merebak, Trump telah menunjukkan kejahilannya dengan menyamakan Covid-19 dengan selesema biasa.

Bagaimana pun jentera pilihan raya Trump mampu mengaburi kelemahannya dengan slogan yang beremosi seperti ‘Keep America Great’ dan ‘Promises Made, Promises Kept’. Ini memberi implikasi bahawa walaupun AS sudah mencapai status negara maju tetapi penduduknya masih membuat pemilihan berdasarkan emosi dan sentimen.

Masyarakat AS sudah pun terbahagi kepada dua kumpulan dan sekiranya Trump masih tidak akur dengan keputusan pilihan raya dan enggan menyerahkan kuasa kemungkinan boleh mengakibatkan perang saudara kedua berlaku. Sekiranya ini berlaku ia merupakan permulaan kepada kemerosotan Pax Americana di dunia.

*Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!