Mahu pinjam RM20,000 tapi rugi RM33,760

Gambar kecil: Mohd Wazir
Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekerja ladang yang pada awalnya berhasrat membuat pinjaman sebanyak RM20,000 akhirnya dia pula kerugian RM33,760 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud pada 10 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 33 tahun itu tertarik dengan tawaran iklan pinjaman wang berlesen yang kononnya beroperasi di Setapak, Kuala Lumpur menerusi Facebook.

Menurutnya, mangsa menghubungi ejen pinjaman itu melalui aplikasi WhatsApp bagi mengetahui lebih lanjut mengenai pinjaman ditawarkan.

"Selepas mengadakan perbincangan, mangsa bersetuju membuat pinjaman wang RM20,000 pada akhir bulan lalu dan dimaklumkan pinjaman akan diluluskan dalam tempoh tujuh hari bekerja.

"Pada 1 November lalu, wakil daripada syarikat pinjaman itu memaklumkan pinjaman yang dipohon mangsa diluluskan dengan bayaran balik secara ansuran bulanan sebanyak RM417 selama lima tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa bersetuju dan pihak syarikat pinjaman itu meminta memasukkan wang konon sebagai yuran untuk memproses pinjaman serta urusan cukai pendapatan.

Kata beliau, mangsa membuat transaksi pertama di sebuah bank di daerah Kuala Lipis berjumlah RM840 seperti diminta pada 2 November lalu.

"Mangsa kemudian dihubungi pihak syarikat berkenaan meminta dia memasukkan lagi wang bagi tujuan memproses dokumen pinjaman dan mangsa membuat 11 transaksi membabitkan wang RM32,920 dalam akaun diberikan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, setelah memasukkan semua wang diminta, pihak syarikat berkenaan masih meminta pindahan wang bagi pelbagai proses pinjaman.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa mula curiga kerana pinjaman yang dipohon sehingga kini gagal diluluskan syarikat tersebut.

"Mangsa membuat tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.