X

Kindly register in order to view this article
!

Pengecualian duti setem untuk rumah pertama sehingga RM500,000

Tengku Zafrul ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Bagi terus menggalakkan pemilikan rumah, kerajaan akan melaksanakan pengecualian duti setem sepenuhnya diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman pertama bernilai sehingga RM500,000.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengecualian ini adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2025.

Selain itu, beliau menegaskan kerajaan turut menyediakan pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik diberikan kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai dilanjutkan bagi tempoh lima tahun lagi.

"Pengecualian ini adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2025 bagi projek perumahan terbengkalai yang disahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)," katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa yang sama, Tengku Zafrul menegaskan kerajaan akan terus menyediakan perumahan yang selesa dan berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah.

"Sejumlah RM1.2 bilion disediakan bagi tujuan pertama, RM500 juta untuk membina sehingga 14,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat dan kedua, RM315 juta untuk pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB).

"Tujuan ketiga, RM125 juta bagi penyelenggaraan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana rendah serta bantuan membaik pulih rumah usang dan yang mengalami kerosakan akibat bencana alam serta RM310 juta untuk Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia," katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul turut menegaskan kerajaan juga akan bekerjasama dengan institusi kewangan terpilih untuk menyediakan Skim Rent-to-Own.

"Program ini akan dilaksanakan sehingga tahun 2022 melibatkan 5,000 buah rumah PR1MA dengan nilai keseluruhan lebih RM1 bilion dan dikhaskan untuk pembeli rumah pertama," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!