Peruntukan RM725 juta bagi naik taraf sekolah daif

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen, hari ini. -Foto Bernama
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan kos tambahan sebanyak RM725 juta bagi menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 50 sekolah daif.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi sekolah di luar bandar Sabah dan Sarawak, kerajaan akan melaksanakan 184 projek pembinaan dan pemasangan bekalan air telaga tiub baharu dengan kos keseluruhan RM120 juta.

"Selain itu, kebajikan murid berkeperluan khas di sekolah turut diberi perhatian oleh kerajaan. Maka, bagi memperkasa pendidikan khas, RM45 juta akan disediakan untuk tujuan ini.

"Bagi peringkat pengajian tinggi pula, sebanyak RM14.4 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Ini termasuk RM50 juta disediakan bagi projek membaik pulih infrastruktur dan peralatan usang di universiti-universiti awam," katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM50 juta ringgit diperuntukkan untuk menaik taraf talian akses Malaysian Research & Education Network atau MYREN kepada 500Mbps hingga 10Gbps bagi memastikan kesalinghubungan internet di institut pengajian tinggi.

"Untuk memastikan pelajar IPT yang mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian, kerajaan bekerjasama dengan BSN akan menyediakan RM100 juta bagi pembiayaan Skim BSN MyRinggit-i COMSIS iaitu skim pinjaman komputer riba.

"Bagi terus menggalakkan ibu bapa menyimpan untuk membiayai kos pendidikan tinggi anak-anak mereka, pelepasan cukai sehingga 8,000 ringgit bagi simpanan bersih Skim Simpanan Pendidikan Nasional dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022," katanya.

Sementara itu, Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM158 juta bagi program-program untuk menjamin kesejahteraan komuniti Orang Asli.

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul berkata, ia meliputi pelaksanaan program bantuan sosial dan Program Pembangunan Bersepadu Perkampungan Orang Asli.

"Selain itu, katanya kerajaan juga akan menaik taraf dan membina 14 buah tabika baharu antaranya seperti di Pos Slim Sungai Kinta, Perak dan Pos Sungai Kelai Jempol, Negeri Sembilan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan amat prihatin terhadap isu menanda sempadan dan mewartakan tanah yang sekian lama disuarakan oleh komuniti Orang Asli.

"Sukacita kerajaan menyediakan sebanyak RM5 juta bagi menjalankan kerja-kerja ukur tanah untuk menanda sempadan di 21 perkampungan Orang Asli.

"Selain itu, sebanyak RM41 juta diperuntukkan bagi program Native Customary Rights di Sabah dan Sarawak," katanya.