Polis siasat video wanita didera

Nor Omar (kiri) pada sidang akhbar di IPD Manjung, Lumut hari ini meminta kerjasama orang ramai mengesan dua individu bagi membantu siasatan video wanita didera.
Nor Omar (kiri) pada sidang akhbar di IPD Manjung, Lumut hari ini meminta kerjasama orang ramai mengesan dua individu bagi membantu siasatan video wanita didera.
A
A
A

LUMUT - Polis sedang mengesan dua individu bagi membantu siasatan terhadap kejadian wanita didera dalam satu rakaman klip video yang tular di media sosial kelmarin.

Video berdurasi dua minit dan enam saat itu kelihatan seorang wanita dipukul di bahagian badan dan mukanya ditampar selain tapak kakinya dicucuh dengan colok.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan awal mengesyaki kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Taman Mas, Kampung Koh, Sitiawan di sini.

"Berikutan daripada insiden tersebut, siasatan dijalankan selepas satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki di Kuantan, Pahang.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini hari ini.

Menurutnya, individu yang sedang dikesan bagi membantu siasatan ialah seorang lelaki, Lau Kah Wai, 22, yang beralamat di Simpang Empat Jalan Bagan Datuk, Taman Melintang Ria, Hutan Melintang, Bagan Datuk, Perak.

“Seorang lagi ialah wanita bernama Cheah Zi Ying, 19, beralamat di Sungai Garden, Jalan Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak.

“Polis telah melawat di tempat kejadian itu tetapi rumah berkenaan tidak berpenghuni. Berdasarkan keterangan jiran, kedua-dua mereka tinggal di rumah tersebut tetapi tidak pulang ke situ sejak beberapa hari lalu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nor Omar berkata, polis masih menyiasat punca kejadian, identiti mangsa serta hubungan antara ketiga-tiga mereka.

Polis meminta kedua-dua mereka tampil ke IPD Manjung atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan manakala orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau kedua-dua individu itu diminta menghubungi Inspektor Muhammad Sollehuddin Rahmat di talian 013-7908995.