Sekolah bermasalah: Lapor PPD atau JPN

Maszlee (kanan) mengedarkan limau kepada pengunjung Pasar Jumaat di Simpang Renggam.
Maszlee (kanan) mengedarkan limau kepada pengunjung Pasar Jumaat di Simpang Renggam.
A
A
A

KLUANG - Kementerian Pendidikan mahu setiap sekolah di negara ini memaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) jika mempunyai sebarang masalah agar langkah proaktif dapat diambil.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, ini berikutan penularan sebuah video di media sosial melibatkan pelajar sebuah sekolah rendah di Kapit, Sarawak yang menampal pintu kelas menggunakan kotak sehingga mengundang pelbagai reaksi pelayar media sosial.

"Saya maklum kes ini dan kementerian sedang menunggu laporan penuh mengenai kerosakan di sekolah tersebut daripada PPD sebelum bantuan dan peruntukan yang bersesuaian disalurkan.

"Jika ada sekolah lain berdepan masalah seperti ini, maklumkan segera kepada PPD atau JPN. Kami tidak akan tahu masalah jika tiada sebarang laporan, selepas itu barulah langkah penyelesaian dapat dilakukan," katanya.

Ahli Parlimen Simpang Renggam ini berkata demikian kepada pemberita selepas program agihan buah limau sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pasar Jumaat, di sini, hari ini.

Katanya, sehingga kini mana-mana masalah berkaitan sekolah yang dilaporkan sama ada daripada PPD atau JPN juga diambil tindakan dan berterima kasih kepada masyarakat prihatin terhadap segala permasalahan yang berlaku di sekolah.

Dalam pada itu, mengulas perkembangan lain, Maszlee bersetuju dan menghormati teguran dan nasihat bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin agar menteri tidak bergaduh sesama sendiri secara terbuka di media sosial juga sudah diambil maklum oleh barisan kepimpinan kerajaan.

"Saya amat menghormati pandangan beliau (Tun Daim) dan pengalamannya yang luas di dalam kerajaan sebelum ini perlu diambil kira dan banyak perkara yang boleh dipelajari daripada beliau dalam mengurus tadbir negara

Artikel Berkaitan:

"Pengalaman orang lama ini bagi kami yang masih baharu ini banyak yang perlu dipelajari dan dijadikan pedoman dan bagi saya secara peribadi kita perlu menghormatinya," katanya.