Tentukan hala tuju e-sukan negara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JIKA kita imbas kembali kenangan suatu ketika dahulu, ramai dalam kalangan belia akan menghabiskan masa dengan bermain catur, karom ataupun dam di kedai-kedai kopi.Namun, kini keadaan sudah jauh berubah apabila permainan dalam talian menerusi telefon bimbit popular dalam kalangan generasi muda.

Kegilaan untuk terlibat dalam e-sukan kini semakin menjadi-jadi selepas aktiviti itu dilihat mampu meraih pendapatan yang lumayan sebagai gamers.

Pada awal tahun lalu, tular mengenai seorang atlet profesional Mobile Legends, Mohd Faris Zakaria atau lebih dikenali sebagai Soloz.

Ia menjadi satu fenomena dan kegilaan peminat melalui platform media sosial dan Youtube yang berjaya menarik ratusan ribu pelayar, sekali gus memberi sumber pendapatan secara konsisten kepada atlet tersebut.

Melihat masa depan dalam bidang tersebut, muncul Persatuan Sukan Elektronik Negeri Selangor yang mahu menyemarakkan dan memperjuangkan sukan yang kini dianggap sebagai satu industri penting kepada negara.

Persatuan tersebut melihat e-sport boleh dijadikan satu daripada usaha untuk menyelesaikan masalah ponteng sekolah dalam kala-ngan pelajar yang tidak minat untuk belajar.

Apatah lagi, ketika negara sedang dilanda pandemik koronavirus (Covid-19), terdapat laporan yang mengatakan bahawa minat pelajar untuk belajar kini semakin menurun.

Inisiatif untuk menarik minat pelajar ke sekolah telah dimulakan di Selangor dan mungkin sekolah-sekolah lain juga boleh melakukan perkara yang sama.

Artikel Berkaitan:

Positif

Difahamkan, usaha Persatuan Sukan Elektronik Negeri Selangor yang mendapat sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dikatakan telah berjaya mencapai matlamat yang diinginkan.

Walaupun terdapat stigma negatif terhadap e-sukan, namun jika dilihat secara mendalam, banyak perkara positif yang boleh diterapkan kepada pelajar.

Sebagai contoh, dalam membangunkan permainan dalam talian, ia sangat memerlukan individu yang mampu untuk melukis watak-watak dalam permainan tersebut.Selain itu, permainan berkenaan mempunyai elemen kejuruteraan komputer yang memerlukan seseorang menguasai ilmu-ilmu tertentu yang diperlukan bagi tujuan itu.

Tidak cukup dengan itu, seseorang pelajar juga boleh didedahkan cara untuk memaparkan permainan mereka secara langsung di laman-laman sosial sehingga mampu meraih pendapatan.

Semua itu berkaitan dengan teknologi masa depan yang mempunyai potensi sangat besar.

Jika dilihat di negara-negara maju, aktiviti e-sukan telah berada pada kedudukan yang sama taraf dengan sukan-sukan konvensional seperti bola sepak dan juga badminton.

E-sukan kini sudah dijadikan sebagai satu acara khas yang disiarkan di televisyen dan mendapat penajaan yang cukup besar.

Difahamkan, bagi acara-acara e-sukan pada peringkat antarabangsa, jumlah wang kemenangan yang ditawarkan bernilai puluhan juta ringgit, sementara di Malaysia pernah mencecah hampir RM1 juta.

Buat masa ini, golongan muda di Malaysia perlu didedahkan tentang penyertaan mereka dalam e-sukan dengan kaedah atau tatacara yang betul.

Mereka perlu dilatih dengan baik sama seperti yang dilakukan dalam persatuan-persatuan sukan yang lain supaya arah tuju e-sukan lebih jelas dan berfokus.

Jika tidak, aktiviti yang dilakukan sekadar permainan yang membuang masa dan tidak mendatangkan faedah. Sehubungan itu, kerajaan juga perlu mempunyai satu pelan masa depan bagi memastikan e-sukan menjadi aktiviti yang berfaedah kepada golongan muda.

Bagi ibu bapa pula, mereka juga perlu memastikan anak-anak mereka tidak lalai dengan permainan tersebut sehingga mengabaikan pelajaran.

* Junhairi Alyasa ialah Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian