X

Kindly register in order to view this article
!

MEF harap Belanjawan 2021 bantu majikan

Kebanyakan majikan mengharapkan Belanjawan 2021 akan memberikan manfaat kepada mereka untuk menggekalkan pekerja. Gambar kecil: SHAMSUDDIN BARDAN
A
A

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berharap supaya Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini akan membantu majikan-majikan di negara ini mengekalkan pekerja-pekerja tanpa memberhentikan mereka susulan pandemik koronavirus (Covid 19) yang melanda negara dan global.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, jika pemberhentian kerja dilaksanakan, ia memberikan kesan besar kepada pekerja untuk mendapatkan pekerjaan yang baharu.

“Mereka susah untuk mendapat pekerjaan baharu kerana kebanyakan majikan mengamalkan polisi pembekuan pekerjaan.

“Apa yang penting ialah majikan harus diberikan sokongan untuk terus bernafas supaya mereka dapat mengekalkan pekerja-pekerja mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sempena Belanjawan 2021, antara harapan MEF ialah:

1) Cukai korporat lebih kompetitif kerana masa kini cukai korporat yang dikenakan tinggi iaitu 24 peratus dan jika dibandingkan kadar cukai korporat negara-negara jiran yang rendah antaranya 18 peratus. Dari segi untuk menarik pelabur, semakan cukai lebih kompetitif untuk menarik pelabur dalam dan luar negara.

2) Semakan semula kadar cukai individu, pada masa kini, kerajaan mengenakan cukai sebanyak 30 peratus kepada mereka yang berpendapatan RM2 juta dan lebih untuk setahun berbanding negara jiran jauh lebih rendah. Ia tidak menjadi daya tarikan kepada mereka yang profesional dan berkemahiran tinggi untuk bekerja di Malaysia terutamanya pakar luar.

3) Pelepasan untuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

4) Peningkatan gaji minima akan meresahkan majikan ketika ini kerana kebanyakan mereka mengalami banyak cabaran terutamanya aliran tunai dan tidak mampu menanggung peningkatan kos dan gaji kerana mengalami penurunan pendapatan sebanyak 30 peratus.

5) Perluaskan pekerjaan dalam kalangan warga emas penting untuk mengurangkan penggunaan pekerja asing kerana pada masa kini ramai pekerja asing bekerja dalam negara kita. Penggunaan pekerja asing akan melibatkan kos yang tinggi dan aliran wang ke luar negara dihantar ke negara sumber secara rasminya ialah RM34 bilion setahun.

Sebelum ini, selain daripada lima perkara ini, MEF telah mencadangkan 25 perkara yang meliputi sosial, ekonomi dan sebagainya kepada Kementerian Kewangan Malaysia.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!