X

Kindly register in order to view this article
!

Banjir landa Hulu Langat akibat hujan lebat malam tadi

Kedai dobi milik Rozita di Sungai Serai, digenangi air paras lutut.
A
A

HULU LANGAT - Beberapa kampung dan kawasan di daerah Hulu Langat lumpuh berikutan banjir akibat hujan lebat berterusan sejak malam tadi.

Kejadian banjir yang dilihat seperti sebuah pulau itu dikatakan paling buruk berlaku dalam tempoh lima tahun.

Seorang penduduk, Nicholas Yang, 32, berkata, hujan lebat mula sejak jam 11 malam tadi sehingga jam 5 pagi itu mengakibatkan halaman rumahnya di Taman Sri Nanding di sini dinaiki air kira-kira 0.3 meter.

"Walaupun hujan sudah berhenti tetapi air semakin tinggi dan hampir mencecah ke kaki lima rumah," katanya kepada Sinar Harian.

Nicholas berkata, kejadian banjir kali ini luar biasa apatah lagi Taman Sri Nanding berada di kawasan tinggi.

Katanya, kejadian mungkin disebabkan limpahan air sungai berhampiran yang naik mendadak akibat hujan berterusan.

Masjid Sungai Serai turut digenangi air hari ini akibat hujan lebat malam tadi.
Masjid Sungai Serai turut digenangi air hari ini akibat hujan lebat malam tadi.

"Kita berharap pihak berkuasa mengambil langkah segera bagi mengurangkan impak banjir di kawasan ini," katanya.

Seorang lagi penduduk, Fitrah Syafril, 35, berkata, banjir yang melanda Hulu Langat kali ini lebih teruk berbanding sebelum ini.

Firah turut berkongsi kesedihannya apabila kedai dobi milik adiknya, Rozita Syafril, 32, di Sungai Serai, digenangi air kira-kira 0.3 meter.

"Adik memaklumkan air naik dengan cepat dan banyak barangan berharga pelanggan mungkin terjejas selain barangan dobi di dalam premis rosak

"Saya difahamkan air di jalan raya di Sungai Serai naik hingga 0.5 meter," katanya yang menetap di Taman Perkasa.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, antara kawasan teruk menerima kesan banjir ialah di Batu 16 1/4 Kampung Dusun Tua.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.25 pagi tadi.

Beliau berkata, seramai 14 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dan Ampang dikerah ke tempat kejadian.

"Kejadian banjir berlaku akibat limpahan sungai berhampiran susulan hujan lebat," katanya.

Hafisham air naik sehingga paras kira-kira dua meter membabitkan dua rumah penduduk.

"Terdapat sembilan mangsa terperangkap dan kerja-kerja penyelamat sedang dilakukan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!