Bekalan awal vaksin Covid-19 dijangka suku pertama tahun depan

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dijangka memperoleh bekalan vaksin Covid-19 pada suku pertama tahun depan, kata Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, bekalan vaksin awal itu akan diberi keutamaan kepada tiga peratus populasi negara terdiri daripada para petugas barisan hadapan meliputi sektor kesihatan dan keselamatan seperti doktor, jururawat, polis, petugas penjara dan imigresen.

"Bagi tujuan penyelarasan memastikan bekalan vaksin Covid-19 diperoleh dengan segera, selamat dan sempurna, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 telah ditubuhkan melalui persetujuan Jemaah Menteri pada 21 Oktober lalu.

"Akses vaksin kepada masyarakat di luar bandar dan pedalaman yang tidak berkemampuan juga akan diperhalusi dan akan diangkat sebagai keutamaan sejajar dengan Covid-19 ini dilihat sebagai satu keperluan awam," katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada Ahmad Hassan (Warisan-Papar) berhubung jaminan dari aspek kecukupan pembekalan vaksin untuk Covid-19 yang dikatakan sedang berada dalam penentuan harga tempatan dan apakah usaha kementerian dalam memastikan vaksin dapat dibekalkan secara saksama kepada rakyat luar bandar dan pedalaman yang tidak berkemampuan.

Khairy menjelaskan, kini Malaysia dalam peringkat akhir rundingan melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kewangan (MoF) dan Jabatan Peguam Negara bagi meneliti terma perjanjian COVAX sebelum menyertai COVAX secara rasmi.

"Daripada segi harga yang ditawarkan oleh COVAX adalah maksimumnya AS$21 (RM87) untuk satu vaksin.

"Namun COVAX ini hanya sebahagian sahaja daripada keperluan kita untuk mendapat vaksin Covid-19 kerana sebahagian besar akan kita peroleh menerusi rundingan dua hala dengan negara lain atau syarikat lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang mencadangkan peruntukan lebih besar untuk pembekalan Covid-19, Khairy berkata, beliau telah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM3 bilion.

Katanya, keutamaan awal pemberian vaksin Covid-19 kepada tiga peratus populasi negara adalah pemberian utama secara 'fast track'.

"Untuk makluman perancangan kerajaan melalui jawatankuasa perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi tahun depan bukan setakat RM1 bilion sahaja.

"Sekurang-kurangnya kita perlu mengimunisasi 70 peratus daripada rakyat Malaysia dan saya telah minta RM3 bilion untuk disediakan bagi tahun depan," katanya.