Naikkan kadar denda tidak selesaikan masalah sepenuhnya

Dr Saharuddin Abdul Hamid
Dr Saharuddin Abdul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan undang-undang alam sekitar yang baik perlu mempunyai strategi komprehensif yang lebih berkesan selain daripada mengenakan kadar denda yang tinggi.

Profesor Pengurusan Sumber dan Polisi Marin dari Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu, Datuk Dr Saharuddin Abdul Hamid berpandangan, tindakan menaikkan kadar denda adalah satu strategi jangka pendek.

Menurutnya, langkah itu tidak akan menyelesaikan masalah pokok sepenuhnya di mana pihak berkuasa mengenakan denda, memberikan hukuman kepada orang yang melakukan pencemaran.

"Dengan menaikkan kadar denda akan hanya membuat mereka gentar dengan undang-undang namun sejauh mana keseriusan pihak berkuasa menanganinya secara tuntas perlu diberikan lebih perhatian.

"Aktiviti penguatkuasaan secara pemantauan dan pengawalan oleh pegawai penguatkuasaan dengan turun ke padang secara strategik perlu dipertingkatkan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, yang lebih utama, kerajaan perlu terus berusaha meningkatkan kesedaran orang awam melalui siaran media sosial, media elektronik, siaran poster dan papan kenyataan untuk bersama-sama membantu mengesan aktiviti pencemaran agar orang awam dapat menghargai sumber air sebagai sumber asli penting kehidupan.

Katanya, melalui aktiviti kesedaran awam ini yang banyak dibuat di luar negara, bukan sahaja dapat menjadikan alam sekitar terpelihara, bahkan memastikan insiden pencemaran sumber air, sungai dan laut dapat dielak dan dikurangkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu pencemaran sungai: KASA cadang denda RM10 juta

Artikel Berkaitan:

Hari ini Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bercadang untuk meningkatkan jumlah hukuman denda sehingga RM10 juta berbanding RM100,000 ketika ini kepada pihak yang disabitkan dengan kesalahan mencemarkan alam sekitar dan sumber air.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah itu antara perkara yang sedang dikaji kementeriannya dalam usaha untuk mencegah sebarang unsur pencemaran sungai.

Beliau berkata, ketika ini KASA bagaimanapun belum bercadang untuk meminda akta alam sekitar dengan mengenakan penjara mandatori kepada pihak yang disabitkan dengan kesalahan tersebut.