Pembudayaan inovasi, kreativiti SUK Kelantan setanding negeri lain

Tengku Azmi (dua kanan) mendengar penerangan berkaitan inovasi yang dipamerkan sempena majlis tersebut di Kompleks Kota Darul Naim.
Tengku Azmi (dua kanan) mendengar penerangan berkaitan inovasi yang dipamerkan sempena majlis tersebut di Kompleks Kota Darul Naim.
A
A
A

KOTA BHARU - Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) sentiasa komited dalam membudayakan inovasi dan kreativiti perkhidmatan awam selari dengan aspirasi Pelan Tindakan Inovasi SUK 2015-2020 bagi meletakkan Kelantan setanding dengan pencapaian negeri-negeri lain.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pengurusan), Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar berkata, dalam kesukaran negara berdepan dengan pandemik koronavirus (Covid-19), namun pembudayaan inovasi secara berterusan masih mampu dilaksanakan dengan komitmen semua pihak.

Menurutnya, Jawatankuasa Pemandu Inovasi Negeri merupakan satu forum penting dan berperanan sebagai badan pemantau yang memastikan penglibatan semua jabatan serta agensi kerajaan ke arah amalan budaya berfikiran inovatif dan kreatif dalam kerja seharian.

“Dalam usaha menerapkan budaya inovasi kepada penjawat awam, usaha secara kolektif daripada semua pihak dilihat sangat penting untuk menjayakan aspirasi ini.

“Sehubungan itu, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia telah mengambil inisiatif dengan memasukkan slot Pemikiran kreatif dan Inovasi pada Program Transformasi Minda yang dikhususkan kepada penjawat awam baharu pada tahun ini dan telah berjaya diadakan sebanyak lima siri,” katanya baru-baru ini.

Tengku Azmi (tengah) menyampaikan piala kepada YIK sebagai johan ketegori Inovasi Pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Tengku Azmi (tengah) menyampaikan piala kepada YIK sebagai johan ketegori Inovasi Pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Terdahulu beliau merasmikan sambutan Hari Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2020 'Pembudayaan Inovasi, Masyarakat Progresif' dan penyampaian Anugerah Inovasi Sektor Awam Negeri Kelantan 2020 (AISAK) serta Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Mengulas lanjut, Tengku Azmi berkata, Unit Audit Dalam turut memainkan peranan menerusi Jawatankuasa Naziran Negeri Kelantan yang telah menetapkan inovasi sebagai salah satu kriteria dalam pengukuran prestasi jabatan dan agensi kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Seterusnya kata beliau, Bahagian Pengurusan Korporat telah melaksanakan pembudayaan inovasi melalui Bengkel Penyediaan Dokumen, Persembahan Projek KIK Horizon Baharu dan Cetusan Idea Inovasi Peringkat Negeri Kelantan selain Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam.

“Berdasarkan kepada pelaksanaan program dan pematuhan kepada pengurusan kualiti yang diiktiraf oleh MAMPU, Pentadbiran Awam Kerajaan Negeri Kelantan pada masa ini adalah menghampiri dengan kualiti pengurusan di peringkat persekutuan.

“Dalam erti kata lain, negeri Kelantan berada di landasan yang betul untuk memacu penjanaan inovasi pada masa hadapan,” katanya.

Dalam majlis sama, kehebatan rekacipta dari Yayasan Islam Kelantan (YIK) iaitu projek Sistem Permohonan ke Tingkatan Satu Maahad Kawalan YIK Versi 2 diiktiraf dan dinobatkan sebagai johan bagi kategori Inovasi Pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Sementara itu, Majlis Daerah Pasir Puteh dinobatkan sebagai johan bagi kategori Inovasi pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan projek Portable Roro Tank.

Juara membawa pulang RM4,000 bersama piala pusingan, iringan berserta sijil.