Tiga lelaki ditahan bantu siasat kes rogol

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KLANG - Tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rogol seorang wanita dan seks luar tabii di sebuah rumah di Klang Utara di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kesemua individu itu ditahan susulan laporan polis dibuat mangsa berusia 21 tahun pada hari sama.

"Mangsa mendakwa telah diugut bekas teman lelakinya yang mengatakan akan menyebarkan video tidak senonoh hubungan mereka di media sosial Jumaat lalu.

"Disebabkan takut video itu disebarkan, mangsa mengikut kehendak bekas teman lelakinya untuk ke rumah sewa suspek," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu Nurulhuda berkata, sebaik tiba di rumah sewa itu, suspek mengadakan hubungan seks tanpa kerelaan mangsa.

"Mangsa juga diugut supaya tidak memberitahu hal itu kepada sesiapa malah suspek turut mengugut akan menyebarkan video bogel serta memukul mangsa" katanya.

Nurulhuda berkata, pada masa sama, seorang lagi rakan suspek berada di rumah itu turut meminta mangsa memuaskan nafsunya tetapi mangsa enggan berbuat demikian.

"Lelaki itu bertindak menolak serta mencekik leher sebelum memaksa mangsa melakukan persetubuhan luar tabii dengannya.

Artikel Berkaitan:

"Lelaki berkenaan juga mengugut mangsa sekiranya mangsa tidak melayan nafsunya, dia akan menceritakan hal itu kepada orang lain," katanya.

Beliau berkata, sepasukan anggota Cawangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara melakukan dua serbuan dan menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 22 tahun untuk siasatan lanjut.

"Siasatan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes curi motosikal mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, dua suspek utama direman selama tujuh hari bermula hari ini, manakala seorang lagi suspek yang berada di dalam rumah terbabit direman tiga hari bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 376 dan 377A Kanun Keseksaan," katanya.