Dua pelajar maut kemalangan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KULAI - Dua pelajar maut selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Rajawali 1 dekat Bandar Putra, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.55 malam itu, mangsa yang berumur 17 tahun yang merupakan penunggang motosikal itu maut di tempat kejadian.

Manakala, rakannya yang berusia 14 tahun merupakan pembonceng motosikal itu mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Sementara itu, pemandu MPV jenis Toyota Avanza yang berusia 50 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supritendan Tok Beng Yeow berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Toyota Avanza dari Jalan Putra 1 hendak masuk ke simpang sebelah kanan jalan iaitu Jalan Rajawali 1.

Menurutnya, secara tiba-tiba datang sebuah motosikal itu dipercayai laju dari arah bertentangan gagal mengelak dan melanggar tepat di bahagian tepi sebelah kiri Toyota Avanza tersebut.

"Perlanggaran ini menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal tercampak di atas jalan.

"Penunggang motosikal tidak mempunyai lesen memandu yang sah," katanya.

Beng Yeow berkata, lokasi kemalangan adalah jalan lurus dua hala dengan dua lorong di setiap arah dan mempunyai simpang di sebelah kanan jalan.

Artikel Berkaitan:


"Tiada sebarang halangan di atas permukaan jalan dan tiada saksi bebas yang melihat kejadian.

"Motosikal mangsa rosak teruk di bahagian hadapan dan sebelah kiri manakala Toyota Avanza kemek di bahagian pintu depan serta belakang sebelah kiri," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah: Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.