Tangguh atau hapus terus faedah pinjaman

Impak pandemik Covid-19 bukan sahaja menjejaskan golongan B40, malah turut menghimpit golongan M40 yang sudah mula hilang pekerjaan akibat penutupan banyak sektor termasuk pelancongan dan penerbangan. - Foto 123RF. Gambar kecil: Ahmad Azrin Adnan dan Ahmed Razman Abdul Latiff
Impak pandemik Covid-19 bukan sahaja menjejaskan golongan B40, malah turut menghimpit golongan M40 yang sudah mula hilang pekerjaan akibat penutupan banyak sektor termasuk pelancongan dan penerbangan. - Foto 123RF. Gambar kecil: Ahmad Azrin Adnan dan Ahmed Razman Abdul Latiff
A
A
A

SHAH ALAM - Impak pandemik koronavirus (Covid-19) bukan sahaja menjejaskan golongan B40, malah turut menghimpit golongan M40 yang kini sudah mula hilang pekerjaan akibat penutupan banyak sektor termasuk pelancongan dan penerbangan.

Pakar ekonomi yang juga Pensyarah Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, untuk memastikan golongan M40 ini mampu kekal bertahan, terdapat beberapa inisiatif yang boleh dipertimbangkan kerajaan untuk dimasukkan ke dalam Belanjawan 2021 bagi membantu golongan berkenaan.

Menurutnya, ketika ini beliau melihat bahawa golongan M40 ini boleh diberi peluang untuk mengambil moratorium selama enam bulan lagi atau sekurang-kurangnya membayar prinsipal pinjaman sahaja.

“Bahagian faedah pinjaman boleh ditangguhkan atau dihapus terus.

“Selain itu, dalam situasi kini kerajaan dilihat perlu membenarkan golongan M40 mengeluarkan wang daripada akaun satu KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dengan syarat mereka mempunyai simpanan KWSP yang mencukupi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, inisiatif seperti dalam Belanjawan 2020 iaitu Malaysia@work, women@work harus diperkenalkan semula supaya ada insentif untuk belia dan wanita bekerja kembali dan majikan diberi insentif mengambil mereka bekerja.

“Saya juga melihat inisiatif Bantuan Prihatin Nasional (BPN) perlu diteruskan dan turut merangkumi golongan M40,” katanya.

Beliau berkata, selain bergantung kepada bantuan diberi kerajaan, golongan M40 juga perlu meningkatkan tahap kemahiran dan pengetahuan mereka untuk menjadi pekerja berkemahiran tinggi.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, katanya, mereka boleh menceburi bidang yang mengutamakan pendigitalan dan ekonomi baharu kerana banyak peluang untuk menjana pendapatan tambahan melangkaui sempadan.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan daripada Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan turut bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk kerajaan mempertimbangkan pelanjutan moratorium sehingga suku pertama tahun depan iaitu Mac 2021 kepada pekerja yang berada dalam sektor yang belum dapat beroperasi sepenuhnya.

Menurutnya, ini amat penting kerana rata-rata golongan M40 berada dalam sektor tersebut yang terdiri daripada dua bentuk iaitu tidak dapat beroperasi 100 peratus seperti sektor pelancongan dan satu lagi sektor yang dibenarkan beroperasi tetapi permintaannya jatuh atau hampir tiada langsung.

“Sektor yang termasuk dalam kategori ini juga adalah sektor logistik, perkilangan dan pertanian. Malah mereka yang berada dalam sektor ini sangat terjejas dan perlu diberi pelanjutan moratorium sekurang-kurangnya sehingga Mac tahun depan.

“Dalam suasana sekarang dan ditambah pula dengan mereka yang berada dalam kawasan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), ramai daripada golongan M40 yang sudah kembali menjadi B40. Sebab itu kerajaan perlu memberi penekanan soal pelanjutan moratorium ini dalam Belanjawan 2021,” katanya.