Lelaki lemas ditemui di celah pokok bakau

Mayat mangsa ditemui di celah pokok bakau di pantai Kampung Balak, Pasir Panjang,Port Dickson.
Mayat mangsa ditemui di celah pokok bakau di pantai Kampung Balak, Pasir Panjang,Port Dickson.
A
A
A

PORT DICKSON - Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas ketika meranduk air laut untuk pergi memancing petang semalam, akhirnya ditemui tersangkut di celah pokok bakau di pantai Kampung Balak, Pasir Panjang lebih kurang satu kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang, hari ini.

Mayat Muhammad Azri Abdullah, 25, ditemui pada jam 1.30 petang tadi.

Isteri lelaki tersebut, Nurhidayah Tus Salikin Mohd Said, 33 bersama dua orang anak mereka berusia tiga tahun dan setahun serta ibu bapa mangsa iaitu T Siva Prakash, 53 dan Geraldine Shortt, 51 turut berada di lokasi ketika mayat mangsa ditemui.

Menurut bapanya, mangsa merupakan anak sulung daripada tiga beradik telah memeluk agama Islam dan berkahwin sebelum menetap di Port Dickson.

"Walaupun kami berlainan agama tetapi hubungan kami tetap baik dan dia kerap menghubungi saya bertanyakan khabar. Dahulu saya tinggal di Bandar Sunggala, Port Dickson sebelum berpindah ke Petaling Jaya sejak lima tahun lalu dan kami amat sedih dengan kejadian ini," katanya ketika ditemui di lokasi,hari ini.

Mangsa meninggalkan seorang isteri dan dua anak.
Mangsa meninggalkan seorang isteri dan dua anak.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar ketika dihubungi berkata, mayat mangsa ditemui oleh penduduk kampung yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Mayat mangsa ditemui tersangkut di celah pokok bakau sekitar jam 1.30 petang manakala mayatnya diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Port Dickson untuk urusan seterusnya," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

SAR ditamatkan pada jam 2 petang.

Sebelum ini seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai cuba mengharungi air laut yang sedang pasang dari Jeti Nelayan Kampung Sungai Sekawang, Pasir Panjang ke Pulau Asam untuk memancing ikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki dikhuatiri lemas ketika meranduk laut