Tempoh sidang Dewan Rakyat dipendekkan kerana kebimbangan Covid-19

Ahli-ahli parlimen ketika menghadiri Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
Ahli-ahli parlimen ketika menghadiri Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Dewan Rakyat meluluskan usul untuk menangguhkan mesyuarat hari ini sehingga jam 1 tengah hari dan akan bersidang semula pada jam 10 pagi esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hasan mengusulkan kepada Dewan Rakyat selepas satu mesyuarat tergempar bersama ketua whip Parlimen setiap parti.

Takiyuddin memaklumkan beberapa kakitangan Dewan Negara di Parlimen disahkan positif Covid-19.

Menurutnya, usul tersebut bagaimanapun terpakai untuk hari ini sahaja dan sebarang penetapan sama bagi mesyuarat esok dan seterusnya dibincangkan kemudian.

"Bangunan Parlimen terletak dalam Parlimen Segambut dan terletak bawah pentadbiran Pusat Kesihatan Daerah Kepong.

"Mesyuarat telah mengambil ketetapan satu norma baharu berhubung persidangan terpaksa diambil berdasarkan faktor-faktor tadi dengan syarat apa-apa yang dilakukan pihak Dewan Rakyat tidak menjejaskan hak ahli-ahli Parlimen untuk bertanya soalan, berbahas dan mengundi dalam dewan ini," katanya ketika membuat usul pada sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 hari ini.

Tambah beliau, Parlimen akan mengendalikan satu tatacara pentadbiran melibatkan catatan kehadiran ahli-ahli Parlimen yang keluar masuk dalam dewan.

"Ketua-ketua parti akan diberikan arahan masa ke masa bagi memenuhi segala SOP yang ditetapkan Parlimen,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan daripada Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) apakah rasional persidangan dipendekkan kerana banyak usul yang perlu dibahaskan untuk membantu rakyat.

Takiyuddin berkata, satu persetujuan bersama diputuskan semua wakil daripada parti yang turut disertai oleh Speaker Dewan Rakyat dan wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Satu persetujuan bersama telah diputuskan tanpa prejudis. Beberapa ketetapan akan dibuat dan diterangkan kepada ketua whip yang langsung tidak menyentuh tempoh masa perbahasan belanjawan," katanya.

Jelasnya, beberapa kakitangan awam di Parlimen disahkan positif dan dijangka ada ahli Dewan Negara yang mungkin positif.

"Mereka merupakan kontak rapat kepada ahli Dewan Negara dan mempunyai kaitan keluarga.

"Saya rasa Yang Berhormat mendapat penjelasan ketua whip parti masing-masing berhubung tempoh masa persidangan," tambahnya.

Katanya lagi, Kementerian Kesihatan turut menjelaskan bahawa risiko amat tinggi untuk ahli Parlimen berada lebih lama dalam Dewan Rakyat.

"Kedudukan kita tertutup walaupun mempunyai cermin sejauh manakah boleh membantu Yang Berhormat mengelakkan penularan.

Turut bangun Teo Nie Ching (PH-Kulai) mencadangkan kepada Dewan Rakyat agar persidangan dilanjutkan bagi tempoh seminggu lagi.

Manakala M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) berpendapat persidangan Dewan Rakyat wajar dilaksanakan secara alam maya.

"Banyak negara telah melaksanakan persidangan Parlimen secara alam maya," katanya.