49 pemilik premis diberi notis

Azlimin (tengah) pada Program Pemeriksaan Premis Musim Perayaan di Hock Kee Seng, di Gong Badak di sini.
Azlimin (tengah) pada Program Pemeriksaan Premis Musim Perayaan di Hock Kee Seng, di Gong Badak di sini.
A
A
A

KUALA NERUS - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri ini akan memeriksa 125 premis menerusi pemeriksaan keselamatan kebakaran sempena perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Pengarahnya, Azlimin Mat Noor berkata, pemeriksaan itu bermula 15 Januari dan berakhir 19 Februari ini di pasar raya besar, hotel termasuk dewan perhimpunan yang menjadi kawasan tumpuan orang ramai.

Menurutnya, pasar raya adalah bangunan paling banyak diperiksa iaitu sebanyak 69 buah selain hotel di negeri ini sebanyak 36 buah, restoran 13 buah dan dewan perhimpunan pula sebanyak tujuh buah.

“Pemeriksaan yang dilakukan antaranya memeriksa tahap keberkesanan sistem pencegahan kebakaran, lampu penunjuk arah laluan, laluan keselamatan kebakaran itu sendiri dan yang berkaitan.

“Sehingga hari ini kita sudah selesai periksa sebanyak 80 premis dan telah mengeluarkan notis kepada 49 pemilik premis dikenal pasti tidak memiliki ciri keselamatan berkaitan kebakaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Pemeriksaan Bangunan Sempena Tahun Baharu Cina di Pasaraya Hock Kee Seng di Gong Badak di sini.

Mengenai keselamatan jalan raya terutamanya di kawasan pintu masuk ke negeri ini seperti Tol Perasing dan Tol Ajil, beliau berkata, pihaknya menempatkan dua kumpulan anggota di tol berkenaan.

Menurutnya, dua kumpulan anggota penyelamat terbabit terdiri daripada tiga anggota Unit Emergency Medical Rescue Service (EMRS) dan tujuh anggota Bomba Fire Resque Tender (FRT).

Artikel Berkaitan:

"Kita akan meletakkan jentera bersama anggota di kawasan itu sebagai persediaan awal sekiranya berlaku sesuatu tidak diingini. Kita juga akan membuat rondaan di kawasan berkenaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Azlimin berkata, jabatannya menasihatkan kepada pengunjung yang datang bercuti ke negeri itu sempena Tahun Baharu Cina agar berhati-hati ketika melakukan aktiviti air.

Menurutnya, keutamaan kepada keselamatan diri perlu diberikan perhatian termasuk pengunjung dinasihatkan agar membawa pelampung sekiranya ingin melakukan aktiviti di air sebagai langkah berjaga-jaga.

Dalam pada itu, anggota Bomba dan Penyelamat juga akan membuat rondaan di lokasi lokasi peranginan yang menjadi tumpuan pengunjung sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina ini.