Belanjawan 2021: PH adakan perjumpaan dengan Tengku Zafrul

Lim Guan Eng -Foto Bernama
Lim Guan Eng -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengadakan mesyuarat dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz petang ini di bangunan Kementerian Kewangan berhubung Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini.

Menurut laporan Awani, mesyuarat itu melibatkan wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

PKR diwakili oleh empat pemimpin iaitu Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

Sementara itu, Amanah diwakili oleh Presidennya, Mohamad Sabu dan Pengarah Strategiknya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Sementara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mewakili parti itu dan turut hadir Setiausaha Publisiti, Tony Pua; Penolong Pengarah Pendidik Politik, Dr Ong Kian Ming serta Pengarah Strategik, Liew Chin Tong.

Menurut Wong Chen, enam cadangan utama dikemukakan oleh PKR kepada pihak kerajaan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2021.

Pertemuan dengan PH tersebut merupakan siri perbincangan yang diadakan oleh Tengku Zafrul dalam usahanya untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk semua parti-parti politik di Malaysia.

Antara pemimpin parti politik yang telah mengadakan pertemuan dengan Tengku Zafrul ialah Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Darell Leiking dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, pada sebelah pagi hari ini, Tengku Zafrul turut mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil pemimpin termasuk daripada UMNO.

Pada 28 Oktober lalu, Yang di-Pertuan Agong menyeru semua ahli parlimen memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Dewan Rakyat.