Lanjut moratorium, beri bantuan makanan kepada rakyat terjejas

Profesor Dr Barjoyai Bardai
Profesor Dr Barjoyai Bardai
A
A
A

SEREMBAN - Golongan yang sangat terjejas oleh pandemik koronavirus (Covid-19) perlu dibantu melalui pemerkasaan kaedah sedia ada seperti peluasan inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi membantu meringankan bebanan mereka, kata pakar ekonomi.

Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, antara yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah memperkenalkan bantuan setem makanan selain melanjutkan tempoh moratorium pembayaran balik pinjaman.

Menurut, pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Tun Abdul Razak itu, kaedah berkenaan lebih sesuai berbanding pengeluaran wang daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang merupakan satu bentuk simpanan untuk hari tua.

“Kerajaan pada masa ini memang sentiasa berhutang dengan KWSP, jadi sekiranya orang ramai dibenarkan membuat pengeluaran itu, kerajaan perlu membayar hutang terlebih dahulu untuk membolehkan KWSP mempunyai cukup wang untuk dibayar kepada pencarum.

“Pencarum sebenarnya sedang keresahan dan mereka mungkin merasakan (pengeluaran akaun satu) jalan keluar yang mudah, sedangkan KWSP diwujudkan untuk memastikan setiap mereka yang bekerja akan mempunyai simpanan selepas bersara,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Najib minta kerajaan pertimbang lagi pengeluaran akaun 1 KWSP

Bagaimanapun katanya, kerajaan boleh melaksanakan kaedah itu dalam bentuk pinjaman, iaitu pencarum perlu 'membayar balik' menerusi jumlah caruman yang lebih tinggi pada masa depan.

"Mereka boleh ambil (daripada akaun satu) tapi perlu bayar semula melalui jumlah caruman yang sedikit tinggi pada masa depan, misalnya kalau sekarang mencarum 11 peratus (daripada jumlah gaji bulanan), boleh tambah 15 peratus untuk ‘recover’ semula dan kalau majikan juga boleh bantu dengan turut menambah caruman kepada pekerja," katanya.

Pada 30 Oktober lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang akaun satu KWSP sekalipun ada cadangan agar rakyat dibenarkan berbuat demikian bagi membantu meringankan beban mereka yang bertambah susulan penularan Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN Keluar akaun 1 KWSP: MTUC sokong, pakar ekonomi bantah

Artikel Berkaitan:

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias dilapor menggesa pencarum membuat janji temu dengan pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) untuk membantu merancang kewangan mereka.

Ini kerana katanya pengeluaran simpanan akaun satu tidak harus menjadi satu-satunya cara untuk pencarum mendapatkan tunai.

Sementara itu, penjawat awam Hasnul Ariffin, 40, bersetuju dengan pandangan bahawa akaun tersebut adalah untuk simpanan hari tua dan tidak harus digunakan sekarang memandangkan keadaan mungkin bertambah meruncing pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, saya rasa mungkin boleh diberi sedikit kelonggaran kepada mereka yang benar-benar terjejas, yang mungkin tiada sumber langsung untuk meneruskan kehidupan, pastikan mereka kemukakan bukti misalnya surat pemberhentian kerja dan sebagainya,” katanya. - Bernama