Angkasa beri sumbangan raya kepada pelajar

Abdul Fattah (tengah) bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Permata, Petaling Jaya kategori asnaf dan B40 yang menerima bantuan.
Abdul Fattah (tengah) bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Permata, Petaling Jaya kategori asnaf dan B40 yang menerima bantuan.
A
A
A

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) melalui program CSR CoopCare Sepakat Aidilfitri Angkasa telah memberikan sumbangan kepada 50 pelajar yang merupakan anggota koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Permata, Petaling Jaya.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, mereka merupakan kategori asnaf dan B40 yang terpilih dan menerima kelengkapan pakaian baharu hari raya, bantuan barang keperluan harian menerusi Projek Barang Asas 100 (BA100) dan wang tunai.

“Angkasa memberi peluang kepada pelajar untuk membuat pemilihan kelengkapan pakaian baharu sendiri di Pasar Raya Besar Mydin Subang Jaya pada Ahad mengikut peruntukan yang ditetapkan iaitu sebanyak RM200 bagi setiap pelajar.

“Mereka juga menerima 50 pek barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak dan makanan segera menerusi Projek Barang Asas 100 (BA100) serta wang tunai untuk membantu dan menceriakan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Angkasa memperuntukkan sebanyak RM15,000 bagi pelaksanaan program tanggungjawab sosial koperasi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Fattah yang Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) berkata, program menyantuni anggota koperasi itu adalah salah satu daripada program CSR CoopCare Angkasa untuk berkongsi kemeriahan dan kegembiraan dalam menyambut Syawal serta mengeratkan tali silaturrahim antara agensi itu dan koperasi.

Hadir sama pada program itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Selangor Datuk Mohd Alias Hamzah, Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat Angkasa, Halim Ibrahim dan Penolong Kanan Kokurikulum SMK Sri Permata, Noor Azrina Mohamad Anuar.

Sehingga Disember 2022, terdapat 2,482 buah koperasi sekolah dengan dua juta keanggotaan. Sebanyak 14 buah koperasi sekolah telah mencapai perolehan melebihi RM1 juta.