Najib minta kerajaan pertimbang lagi pengeluaran akaun 1 KWSP

Kenyataan yang dimuat naik di Facebook Najib hari ini.
Kenyataan yang dimuat naik di Facebook Najib hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta mempertimbangkan lagi cadangan pengeluaran wang akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi kegunaan rakyat yang terjejas kehidupannya akibat pandemik Covid-19.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan boleh membenarkan pengeluaran duit dengan menghadkan pengeluaran secara one-off sehingga RM10,000 daripada akaun tersebut.

“Mungkin boleh pertimbangkan untuk pencarum keluarkan duit sekarang pada masa paling terdesak dan membenarkan serta menggalakkan pencarum 'top-up' (tambah) semula pada masa depan apabila keadaan ekonomi pulih.

“Kerajaan juga boleh memastikan KWSP diberikan peluang dengan pelbagai projek yang menjana keuntungan besar pada masa hadapan bagi memberi pulangan lebih besar kepada pencarum demi memulihkan semula baki akaun KWSP,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN Muhyiddin beri bayangan Belanjawan 2021 tumpu usaha perangi Covid-19

Menurut Najib, langkah berkenaan boleh dilakukan oleh kerajaan dengan mencontohi apa yang kerajaan Barisan Nasional (BN) lakukan dahulu dengan penglibatan KWSP dalam projek kawasan Damansara, iaitu pemilikan kepentingan 49 peratus Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS) serta projek Stesen Janakuasa Battersea di United Kingdom.

“Jangan hanya beri segala projek-projek seperti ini kepada pihak swasta sahaja sebab kita perlu ingat dan sedar bahawa rakyat adalah kroni sebenar kita.

“Mohon PM8 (Muhyiddin) pertimbang semula,” katanya.

Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sukar untuk kerajaan membenarkan pengeluaran akaun 1 KWSP dilakukan walaupun terdapat banyak desakan daripada rakyat agar kerajaan membenarkan pengeluaran tersebut.

Artikel Berkaitan:

Jelas Muhyiddin, simpanan KWSP adalah untuk masa tua pencarum dan sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran dilakukan, ia akan memberi masalah lebih besar pada masa hadapan iaitu selepas pencen.