Polis serbu restoran dijadikan pusat hiburan

Polis menggempur tiga buah premis dalam serbuan di Bandar Puteri Puchong malam tadi.
Polis menggempur tiga buah premis dalam serbuan di Bandar Puteri Puchong malam tadi.
A
A
A

PUCHONG - Taktik pemilik premis pusat hiburan yang berselindung di sebalik lesen restoran terbongkar selepas diserbu polis dalam tiga serbuan berasingan di Bandar Puteri Puchong, di sini malam tadi.

Serbuan bermula jam 10 malam itu dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hasil maklumat dan risikan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, siasatan mendapati pengunjung dan pemilik pusat hiburan itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Seramai 37 individu berusia lingkungan 25 hingga 55 tahun dikenakan dikompaun dalam serbuan tersebut.

"Turut ditahan sembilan warga asing termasuk enam wanita warga Vietnam yang dipercayai gadis pelayan pelanggan (GRO)," katanya.

Menurutnya, tangkapan warga asing disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1993.

“Seramai 37 individu yang ditahan akan disiasat mengikut Peraturan 3 dan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020,” katanya.

Katanya, operasi seumpama itu dilakukan bagi mendidik masyarakat untuk mematuhi SOP PKPB demi memutuskan rangkaian koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan: