Mayat warga emas dalam gua

Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika mandi di sebatang sungai berhampiran Gua Ikan Rabu lepas ditemukan mati hari ini. Gambar hiasan.
Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika mandi di sebatang sungai berhampiran Gua Ikan Rabu lepas ditemukan mati hari ini. Gambar hiasan.
A
A
A

PADANG BESAR - Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika mandi di sebatang sungai berhampiran Gua Ikan dekat sini Rabu lepas ditemukan mati hari ini dipercayai lemas.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, mayat Lee Ah Kau, 71, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tersangkut pada kayu di sungai dalam gua tersebut, pada jam 10.06 pagi.

“Mayat mangsa ditemukan kira-kira 50 meter dari tempat dia dipercayai lemas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, keluarga mangsa telah membuat pengecaman dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk tindakan lanjut.

Katanya operasi SAR ditamatkan pada jam 10.30 pagi dan kes disiasat sebagai mati mengejut.

Saifudin menasihati orang ramai supaya membawa teman jika mandi di kawasan itu kerana sebelum ini terdapat kes yang hampir sama berlaku membabitkan warga emas lemas ketika mandi bersendirian.

- Bernama

Artikel Berkaitan: