Tujuh ekor lembu mati disambar petir

Enam daripada tujuh ekor lembu milik penternak, Ahmad Husin ditemui mati bergelimpangan di tengah padang di Kampung Gemuruh Kuala Nerus petang semalam. Gambar kecil: Zulkifli Ahmad
Enam daripada tujuh ekor lembu milik penternak, Ahmad Husin ditemui mati bergelimpangan di tengah padang di Kampung Gemuruh Kuala Nerus petang semalam. Gambar kecil: Zulkifli Ahmad
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang penternak kerugian lebih RM20,000 berikutan lembu peliharaannya mati dipercayai akibat disambar petir dalam kejadian di Kampung Gemuruh di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, tujuh ekor lembu berusia dari tiga hingga 10 tahun milik Ahmad Husin, 82, ditemui mati bergelimpangan di lokasi tersebut.

Menurut anaknya, Zulkifli Ahmad, 48, kejadian itu hanya diketahui kira-kira jam 6 petang selepas menerima panggilan daripada salah seorang penduduk yang memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

"Saya difahamkan, ayah memang sedang mencari semua lembu untuk dikurung di dalam kandang semula selepas dilepaskan sementara di padang berkenaan, namun tidak menemuinya.

"Kehilangan lembu-lembu itu terjawab selepas seorang penduduk menghubungi saya memaklumkan ada melihat beberapa ekor lembu ayah mati di bawah pokok dipercayai dipanah petir.

"Saya terus bergegas ke lokasi dan luluh hati selepas ternampak lembu-lembu ayah mati bergelimpangan di situ," katanya ketika ditemui di lokasi, semalam.

Menurutnya, setelah melihat kesan kecederaan pada ketujuh-tujuh haiwan ternakan itu, dia yakin kesemuanya mati disebabkan dipanah petir.

"Saya dimaklumkan penduduk, sebelum hujan lebat dan ribut petir berlaku, mereka melihat lembu-lembu ayah masih ada di bawah pokok tetapi selepas itu, kesemuanya dilihat sudah rebah ke bumi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zulkifli yang juga pekerja di sebuah kilang kayu berkata, kejadian ini merupakan kali pertama berlaku sepanjang lebih 30 tahun ayahnya menjadi penternak lembu.