UM lancar kempen #onlymencan untuk perangi kanser prostat

Dr Adeeba
Dr Adeeba
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tabung Amanah Kanser Urologi Universiti Malaya (UM) akan melancarkan kempen #onlymencan di seluruh negara pada bulan depan sempena bulan kesedaran kesihatan lelaki untuk mengajak orang ramai bersama memerangi penyakit kanser prostat.

Ketuanya, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, kempen itu akan menjadi acara tahunan pada setiap November bermula tahun ini sehingga 2024.

Beliau berkata, mengikut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia, lebih 60 peratus kes kanser prostat di negara ini didiagnosis pada peringkat sudah serius iaitu pada tahap tiga dan empat.

"Jika dibandingkan statistik kes kanser prostat jauh lebih rendah di Singapura yang merekodkan 25 hingga 30 peratus dan Amerika Syarikat (AS) yang kurang daripada 20 peratus.

"Jadi, kempen ini bertujuan mengurangkan bilangan kes kanser prostat yang baru didiagnosis daripada lebih 60 peratus kepada 30 peratus menjelang 2025," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Untuk tahun ini, katanya, kempen #onlymencan akan dilaksanakan selama sebulan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kanser prostat.

"Mesej utama kempen akan disebarkan melalui iklan, wawancara dan pendapat pemimpin.

"Selain itu, kita juga akan adakan program peningkatan pengetahuan mengenai kanser prostat untuk pengamal perubatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, menerusi program itu, doktor penjagaan primer di sektor awam dan swasta akan mengikuti latihan dalam talian kursus untuk mengetahui kemas kini terkini mengenai pemeriksaan, diagnosis dan rawatan barah prostat untuk memberi rawatan terbaik kepada pesakit.

"Laman web #onlymencan khusus juga yang mengandungi sumber pendidikan kesihatan untuk orang ramai, pesakit dan penjaga kesihatan profesional akan dibina sebagai pusat sumber maya sehenti untuk barah prostat di Malaysia," katanya.

Dr Adeeba berkata, di AS, ujian kanser prostat dilakukan lebih meluas dan mendapati satu daripada sembilan lelaki didiagnosis menghidap barah prostat sepanjang hayat mereka.

"Mujurlah ia merupakan salah satu bentuk kanser yang paling boleh dirawat. Jika dikesan awal dengan kadar kelangsungan hidup lebih daripada 90 peratus sekurang-kurangnya 10 tahun," katanya.

Katanya, beliau percaya kerjasama erat antara doktor dan pesakit kanser akan memberi kesan yang besar dalam memerangi barah prostat.

"Kesedaran adalah langkah pertama untuk mengesan penyakit ini di peringkat awal," katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga tabung berkenaan yang juga pejuang kanser prostat, Datuk Seri Nazir Razak berkata, ramai lelaki meninggal dunia atau menderita dengan teruk kerana mereka gagal mengesan barah prostat lebih awal.

"Pengesanan awal adalah kunci kesedaran dan nasihat perubatan yang baik. Jadi itulah keutamaan kempen kami tahun ini," katanya.