Kerajaan negeri lulus RM500,000 bantuan khas OKU

Siti Mariah memberi penerangan berhubung Karnival 3W yang dilancarkan, hari ini
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi Bantuan Khas Orang Kelainan Upaya (OKU) pada tahun ini.

Exco Kesihatan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, dalam kes-kes tertentu bantuan itu akan diluluskan oleh Majlis Tindakan OKU yang dibentuk sebagai pemantau dan pemikir dalam memperkasakan golongan berkenaan secara komprehensif sejak Oktober tahun lalu.

Beliau berkata, permohonan bantuan khas tersebut kini boleh dibuat menerusi pejabat Adun atau boleh terus ke pejabatnya di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Katanya, borang-borang dihantar akan disemak dengan bantuan Majlis Tindakan OKU berdasarkan kriteria-kriteria tertentu sebelum bantuan khas itu diberikan kepada penerima.

"Bantuan khas OKU ini adalah bantuan kecemasan serta membantu penerima meneruskan kelangsungan hidup mereka.

"Sebagai contoh, kita ada terima kes di mana terdapat seorang ibu tunggal yang mempunyai anak OKU (Autisme) dan dia mempunyai sebuah kereta untuk membawa semua anaknya untuk pemeriksaan kesihatan dan sebagainya. Tapi apabila kereta itu rosak, dia tak mampu bergerak ke mana-mana dan di sinilah bantuan khas ini kita beri pada dia sebagai bantuan kecemasan untuk dia baiki keretanya," katanya selepas merasmikan Pra Pelancaran Karnival 3W di Pejabat SUK, hari ini.

Sebelum ini, Siti Mariah memberitahu kerajaan negeri akan memberi penumpuan lebih kepada golongan OKU dan menjangkakan dalam tempoh lima tahun akan dapat memperkasa secara menyeluruh golongan tersebut bagi menjalani kehidupan seperti orang biasa.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia