Insiden Dayang Topaz: Petronas jalankan penilaian struktur pelantar

Penilaian menyeluruh terhadap struktur pelantar itu sedang dilakukan Petronas.
Penilaian menyeluruh terhadap struktur pelantar itu sedang dilakukan Petronas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siasatan berhubung punca kejadian yang melibatkan kapal MV Dayang Topaz melanggar struktur pelantar di medan Baram, 14 batu nautika dari Miri, pada Selasa lepas sedang dijalankan, menurut Petronas.

Syarikat minyak negara itu berkata, penilaian menyeluruh terhadap struktur pelantar itu sedang dilakukan.

“Petronas komited dalam mengambil semua langkah yang diperlukan untuk memastikan struktur pelantar kekal selamat dan terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Petronas berkata, siasatan awal oleh pihaknya mendapati kejadian itu tidak mendatangkan sebarang kesan ke atas alam sekitar.

Ia juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memantau situasi tersebut dan melakukan penilaian lebih lanjut bagi memastikan segala kemungkinan ditangani dengan segera, katanya.

"Kami juga memberikan semua sokongan yang diperlukan kepada DESB Marine Services Sdn Bhd dalam perkara ini,” menurutnya.

Dalam kejadian Selasa lepas, kapal itu berlanggar dengan struktur pelantar berikutan kabel sauhnya terputus semasa cuaca buruk melanda.

Kapal itu, yang dimiliki anak syarikat milik penuh Dayang Enterprise Holdings Bhd, DESB Marine Services, sedang menjalankan kerja-kerja operasi di platform Baram untuk Petronas Carigali Sdn Bhd. - Bernama

Artikel Berkaitan: