# Belanjawan 2021 # Hormati kebebasan Ahli Parlimen buat Keputusan

Hassan Karim
Hassan Karim
A
A
A
JOHOR BAHRU - Semua Ahli Parlimen perlu diberi kebebasan dalam memutuskan sama ada menyokong atau tidak menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, semua pihak perlu menghormati pendirian ahli-ahli Parlimen dalam membuat keputusan semasa mengundi di Parlimen nanti.

"Saya amat gusar dan bimbang dengan kenyataan Istana negara bertarikh 28 Oktober 2020 dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin yang menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.

"Saya beranggapan kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja itu sebagai satu pelanggaran terhadap prinsip Raja Berperlembagaan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.

"Saya ingin menegaskan ahli-ahli Parlimen mestilah bebas untuk membuat keputusan dalam sidang Parlimen termasuk persidangan Belanjawan 2021 tanpa ada sebarang tekanan atau pengaruh sesiapa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hassan berkata, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen yang mengguna pakai prinsip pengasingan kuasa.

Untuk itu, beliau berkata, semua pihak dan institusi perlu menghormati Parlimen dengan menyediakan suatu keadaan yang kondusif bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen bebas membuat keputusan.

"Dalam hal ehwal kewangan negara, peranan Parlimen amat besar. Perkara 96 Perlembagaan Persekutuan menyebut tiada percukaian melainkan jika dibenarkan undang-undang. Perkara 102 pula menyatakan Parlimen mempunyai kuasa berkenaan mana-mana tahun kewangan," ujarnya.

Rang undang-undang Belanjawan 2021 dan proses pengundian katanya, kedua-duanya perlu dibahaskan di peringkat dasar dan jawatankuasa serta tidak ada proses jalan pintas.
Artikel Berkaitan:


"Duit beratus bilion ringgit dalam belanjawan negara 2021 itu adalah duit pembayar cukai dan duit hasil negara milik rakyat dan milik negara. Ahli-ahli Parlimen yang mengangkat sumpah telah berikrar untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang membawa maksud menjaga kepentingan rakyat dan negara.

"Ahli-ahli parlimen sama ada ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara berada di Parlimen atas kelayakannya menjadi ahli Parlimen di bawah Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan. Justeru kepercayaan wajar diberi kepada mereka untuk menimbang mana yang baik dan mana yang

merosakkan negara," katanya.

Beliau berkata, perlu diingat Parlimen adalah badan legislatif iaitu sebuah institusi perundangan yang peranan menggubal undang-undang manakala Ahli-ahli Parlimen adalah penggubal undang-undang atau 'laws maker'.

-end-