Teruskan BPN, jana pekerjaan baharu: Ahmad Maszlan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebagai komponen terbesar dalam kerajaan, Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu memastikan rakyat mendapat manfaat daripada Belanjawan 2021.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, prihatin rakyat dan mengutamakan rakyat adalah teras perjuangan parti itu selama ini.

Menurutnya, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta kesemua 113 ahli Parlimen gabungan parti itu menyokong Belanjawan 2021.

"Sebagai salah seorang ahli Parlimen itu, saya kira memerangi Covid-19 mesti ditingkatkan ke tahap maksima.

"Kita sedar rakyat gelisah dan mesti terus dibantu dalam Bajet 2021.

"Bantuan Prihatin Nasional (BPN) eloklah diterus, pekerjaan baharu mesti dijana," katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Pembentangan Belanjawan 2021 antara yang akan mencuri tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat yang kembali bermesyuarat selama 27 hari, mulai 2 November depan.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman web rasmi Parlimen, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 itu dijadual dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada jam 4 petang, 6 November nanti.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat ke-3, penggal ke-3, Parlimen ke-14 itu akan berlangsung sehingga 15 Disember depan bagi Dewan Rakyat sementara persidangan Dewan Negara akan berlangsung dari 14 hingga 23 Disember.

Persidangan antara lain akan membahaskan Belanjawan di peringkat dasar, jawatankuasa dan jawapan menteri.