Polis lepaskan tembakan, empat pengedar dadah ditahan

Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin
Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta yang dipandu lelaki disyaki pengedar dadah dalam serbuan di sebuah banglo di Salak Baru, di sini hari ini.

Bertindak atas maklumat, dua pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sungai Siput dan Kuala Kangsar membuat serbuan di banglo tersebut kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, tindakan itu dilakukan bagi mempertahankan diri selepas suspek bertindak agresif mahu melarikan diri dengan memandu kereta secara melulu.

“Suspek yang memandu kereta jenis Proton Wira bertindak mengundurkan kenderaan dan cuba merempuh anggota ketika melarikan diri.

“Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar depan dan belakang tetapi suspek berjaya melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, suspek bagaimanapun berjaya ditangkap selepas dikejar sejauh dua kilometer dari lokasi tersebut.

Katanya, hasil serbuan itu, polis berjaya menahan keseluruhan empat lelaki berusia 40an dan merampas dadah jenis heroin seberat 29.1 gram bernilai RM1,500.

“Tiga suspek ditahan dalam banglo tersebut manakala seorang lagi dalam kereta berkenaan dan siasatan lanjut mendapati kesemuanya mempunyai rekod lampau dalam kesalahan jenayah.

Artikel Berkaitan:

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.