X

Kindly register in order to view this article
!

Warga emas jual kuih demi kos bedah mata

Hanapiah membungkuskan kuih yang dibeli oleh pelanggannya berhampiran Hospital Jitra hari ini.
A
A

JITRA - Seorang warga emas mengambil inisiatif dengan menjual kuih-muih berhampiran Hospital Jitra di sini bagi mengumpul wang berjumlah RM5,600 untuk melakukan pembedahan matanya.

Hanapiah Mahmud, 76, yang tinggal di Gelong Rambai, Jitra berkata, dia mula mengumpul wang bagi membuang selaput di matanya selepas dimaklumkan oleh doktor.

Menurut Hanapiah, isterinya, Doyah Kasa, 70, akan bangun pada jam 3 pagi setiap hari untuk membuat kuih sebelum dijual pada jam 2 petang.

"Kedua-dua belah mata saya kurang jelas dan doktor memaklumkan pembedahan perlu dilakukan bagi membuang selaput mata.

"Saya akur dan mula mengumpul wang untuk menjalani pembedahan itu. Sepatutnya pembedahan sudah dijalankan namun tertangguh akibat koronavirus (Covid-19) sejak Mac lalu," katanya ketika menerima kunjungan Presiden Inapan Siswa Malten Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Saniy Samsudin di kediamannya di sini hari ini.

Muhammad Saniy (kiri) dan beberapa pelajar UUM berkunjung ke rumah Hanapiah (dua dari kiri) untuk mendapatkan maklumat berkaitan warga emas tersebut.
Muhammad Saniy (kiri) dan beberapa pelajar UUM berkunjung ke rumah Hanapiah (dua dari kiri) untuk mendapatkan maklumat berkaitan warga emas tersebut.

Hanapiah berkata, antara kuih-muih yang dijual ialah lepat pisang, tepung bungkus dan pulut udang malah mereka juga bersedia menerima tempahan.

Sementara itu, anak ketiga Hanapiah, Ahmad Nizar, 51 berkata, bapanya dijadualkan melakukan pembedahan mata tahun ini, namun ditangguhkan ke satu tarikh yang belum pasti akibat Covid-19.

Hanapiah menunggu kehadiran pelanggannya berhampiran Hospital Jitra hari ini.
Hanapiah menunggu kehadiran pelanggannya berhampiran Hospital Jitra hari ini.

"Disebabkan sudah terlalu lama menunggu, keputusan diambil untuk melakukan pembedahan di sebuah hospital pakar mata di Sungai Petani.

"Kami berusaha mengumpul duit hasil jualan kuih ini. Sebelum ini bapa menjual ikan tetapi saya tidak benarkan kerana bahaya keluar pada waktu malam untuk mendapat bekalan ikan di Alor Setar selepas penglihatan semakin kabur akibat komplikasi penyakit kencing manis," katanya.

Muhammad Saniy memberitahu, kehadirannya bersama pelajar Pengurusan Awam, Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (Pace) UUM, Nur Fatin Najwa Peteri dan Nur Sabrina Samsudin selepas berbincang bersama Pengetuanya, Dr Rohani Abdullah.

Menurutnya, pihaknya mahu mendapatkan maklumat lanjut bagi tindakan Jawatankuasa Pembangunan Siswa (JKPS) Biro kebajikan dan Keselamatan untuk membantu mengumpul dana Hanapiah.

Terdahulu, kisah warga emas tersebut tular di media sosial kerana gigih berdiri menanti pelanggan yang datang membeli kuih jualannya, lepat pisang, pulut udang dan tepung bungkus.

Hanapiah ingin mengumpul wang demi melunaskan satu hajatnya untuk melakukan pembedahan mata supaya penglihatan lebih jelas

Mereka yang mahu membantu Hanapiah boleh menghubungi talian 0125328845 (Ahmad Nizar) atau menyalurkan bantuan ke nombor akaun Maybank milik Hanapiah Mahmud (152068789172).


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!