Karnival 3W​ Selangor​: Dekati masyarakat​, salur terus info

Dr Siti Mariah memberi penerangan berhubung Karnival 3W yang dilancarkan, hari ini
Dr Siti Mariah memberi penerangan berhubung Karnival 3W yang dilancarkan, hari ini
A
A
A

SHAH ALAM - Bagi membina platform terbaik buat rakyat Selangor mendapatkan maklumat berkaitan wanita, kebajikan serta kesihatan, kerajaan negeri ​tampil dengan ka​​rnival siri jelajah bagi memenuhi aspirasi te​​rsebut.

Dikenali sebagai Karnival ​3W 'Women, Welfare, Wellness'​ Selangor itu dilancarkan buat pertama kali di bawah​ Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor​.​

E​xconya, ​Dr Siti Mariah Mahmud​ berkata, inisiatif tersebut diambil kerana selain berkongsi maklumat dengan masyarakat, pihaknya juga mahu memberi penerangan berhubung perkhidmatan disediakan di bawah portfolionya termasuk mempromosikan tema-tema tertentu bagi mendidik rakyat.

Beliau berkata, sebelum ini secara tradisinya di bawah portfolio beliau, terdapat banyak program dibuat berasingan antaranya sambutan hari wanita, hari warga emas termasuk hari kanak-kanak.

Menerusi karnival ini, kesemua program tersebut akan digabung dan ditambah beberapa program baharu merangkumi aspek kebajikan, wanita serta kesihatan.

"Dengan ini, kita akan dapat mendekati lebih ramai orang terutamanya golongan-golongan yang memerlukan bantuan tetapi tidak tahu saluran atau bagaimana untuk mendapatkan pertolongan.

"Karnival ini kita adakan di 12 lokasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri dengan kerjasama pelbagai agensi antaranya Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, Jabatan pembangunan Wanita, Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Pusat Wanita Berdaya Selangor serta Majlis Tindakan OKU Selangor," katanya pada Majlis Pra Pelancaran Karnival 3W di Pejabat ​Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di sini, hari ini.

Katanya, dengan adanya gabungan kerjasama pelbagai agensi ini ia akan ​memudahkan para pengunjung merujuk permasalahan atau mendapatkan maklumat yang dikehendaki dengan lebih cepat.

Artikel Berkaitan:

"Umpamanya di bawah kesihatan mereka boleh tahu program-program kesihatan yang kerajaan negeri buat untuk bantu mereka dan boleh terus ke reruai disediakan untuk bertanya atau membuat permohonan.

"Golongan yang tak memerlukan bantuan pun dialu-alukan untuk datang sebab mereka boleh uar-uarkan kepada rakan-rakan mereka yang mungkin tak tahu tapi amat memerlukan bantuan di bawah program yang disediakan," katanya.

Dr Siti Mariah turut menyasarkan sekurang-kurangnya 3,000 pengunjung hadir pada karnival pertama yang bertemakan sambutan Hari kanser Sedunia.

Bakal diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah pada 10 Februari nanti, ia turut disediakan program intergenerasi melibatkan wanita, warga emas, OKU serta kanak-kanak termasuk penampilan khas selebririti pada karnival itu nanti.

Beliau seluruh rakyat Selangor dapat hadir ke Karnival 3W yang akan dijalankan pada setiap bulan di lokasi berbeza dan memanfaatkan peluang bertanya serta mendapatkan maklumat secukupnya daripada semua agensi kerajaan yang hadir.

Perkembangan semasa karnival ini boleh juga didapati di laman Facebook Selangor 3W bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung program.

"Kita sasarkan untuk capai 100,000 tanda suka agar lebih ramai mengetahui apa yang kita buat menerusi karnival ini," katanya.