'Sokongan kepada Anwar hanyalah kerjasama bersyarat tanpa DAP'

Anwar dan Najib
Anwar dan Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa sokongan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kerjasama bersyarat tanpa penyertaan DAP.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau mengemukakan beberapa cadangan ketika Mesyuarat ahli-ahli Parlimen BN yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur petang tadi.

"Ada media portal yang laporkan seolah-olah saya mendesak semua ahli Parlimen UMNO untuk sokong Anwar jadi Perdana Menteri (PM). Ini kurang tepat.

"Mesyuarat hari ini adalah untuk semua ahli Parlimen membincang hala tuju parti dalam krisis Covid-19 hari ini dan kita diberi peluang untuk mengeluarkan pandangan masing-masingi," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau malam tadi.

Menurutnya, cadangan pertamanya adalah untuk UMNO mendesak satu tarikh yang tetap untuk Pilihan Raya Umum pada masa hadapan selepas Covid-19 terkawal.

"Cadangan kedua saya ialah jika cadangan pertama ditolak Perikatan Nasional (PN) maka UMNO perlu terbuka kepada rundingan dengan parti-parti politik lain termasuk parti Anwar jika UMNO masih tak berpuas hati dengan layanan dalam kerajaan PN selepas apa yang berlaku di Sabah.

"Bagaimanapun, cadangan saya ada syarat bahawa kerjasama dengan Anwar tidak akan melibatkan parti DAP. Ini ditegas beberapa kali dalam mesyuarat hari ini," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau malam tadi.

Jelas Najib lagi, jika UMNO boleh bekerjasama dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada bulan Februari lalu, maka parti itu juga boleh berunding dengan Anwar untuk kerjasama bersyarat hingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Artikel Berkaitan:

"Syarat-syarat ini termasuk membuka jalan untuk UMNO mengambil peranan dalam hala tuju kewangan dan ekonomi melihat pada masa kini Bersatu memonopoli jawatan PM, menteri kanan yang paling kanan, menteri kewangan, menteri ekonomi dan Majlis Tindakan Ekonomi tanpa sebarang wakil dari parti UMNO, Pas atau mana-mana parti lain.

"Dengan ini kita boleh merangka pelan bantuan dan rangsangan ekonomi yang lebih efektif seperti melanjutkan moratorium pinjaman serta mempercepatkan pakej bantuan khusus untuk Sabah yang amat diperlukan segera tetapi gagal dikeluarkan sejak sebulan dahulu walaupun impak kepada Sabah pada masa kini adalah amat parah," katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata, beliau juga terbuka kepada pilihan untuk teruskan sokongan bersyarat kepada kerajaan PN sehingga PRU15 tetapi UMNO perlu berunding semula syarat-syarat supaya UMNO dan BN diberi peranan lebih besar terutamanya dalam hal-ehwal berhubung rancangan ekonomi.

"Apapun, itu antara cadangan dan pendapat saya dalam mesyuarat hari ini. Terpulang kepada parti untuk menilai dan membincang cadangan-cadangan ini.

"Sebagai orang parti, saya akan terus menyokong keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang sedang bermesyuarat malam ini," katanya.