Covid-19: Tiga kluster baharu dikesan hari ini

Dr Noor Hisham menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga lagi kluster baharu koronavirus (Covid-19) dikesan hari ini, masing-masing satu di negeri Sabah, Negeri Sembilan dan Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes-kes kluster Kapor di daerah Kudat, Sabah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan komuniti Pelauh (Bajau Laut) yang menetap di Kampung Tanjung Kapor.

Menurutnya, sebanyak 46 kes positif COVID-19 dikesan di dalam kluster tersebut pada 22 Oktober lalu dan kesemua kes dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kota Belud, Sabah.

“Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 127 individu disaring termasuk 46 kes dikesan positif Covid-19 (30 kes baharu) dan 81 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan harian Covid-19 hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Hampar di daerah Rembau, Negeri Sembilan membabitkan kes indeks bagi kluster itu (kes ke-23736) yang didapati positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 21 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Rembau.

"Saringan kontak rapat mengenal pasti empat lagi kes positif Covid-19 dan sehingga tengah hari ini sejumlah 578 individu disaring termasuk lima kes dikesan positif Covid-19 (4 kes baharu) dan 477 individu masih menunggu keputusan.

"Bagi kluster Penjara Tapah di daerah Batang Padang, Perak sebanyak 11 kes dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan dijalankan di penjara tersebut bermula dari 12 Oktober lalu dan kesemua kes dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan Hospital Teluk Intan

"Saringan kontak rapat di bawah kluster ini juga mengenal pasti empat lagi kes positif Covid-19. Sehingga 12 tengah hari ini sejumlah 2,268 individu telah disaring, iaitu 11 kes dikesan positif Covid-19 (4 kes baharu) dan 437 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pemilihan nama kluster adalah berdasarkan latar belakang kes indeks bagi kluster tersebut.

Katanya, nama kluster dipilih berdasarkan nama bangunan, taman atau jalan tempat kediaman atau tempat kerja kes indeks bagi memastikan komunikasi berkesan antara pihak yang terlibat dalam kawalan dan pengurusan kluster.

“Selain itu, nama kluster juga boleh dipilih bagi menggambarkan cara penyebaran jangkitan di antara kes indeks dan kontak rapat seperti kluster Auto yang menggambarkan jangkitan kluster di tempat kerja melibatkan pekerja di syarikat automotif dan kluster Inai yang menggambarkan jangkitan kluster bermula daripada majlis berinai.

“KKM sangat berhati-hati dalam pemilihan nama kluster bagi mengelakkan sebarang keresahan dan stigma kepada pesakit, penduduk setempat mahupun organisasi yang terlibat,“ katanya. - Bernama