Hilang punca pendapatan: JPKK minta KPM campur tangan

Satu sidang media diadakan di lobi Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini.
Satu sidang media diadakan di lobi Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mewakili 10,000 pekerja kontrak pembersihan dan perkhidmatan kawalan keselamatan sekolah, seramai 12 NGO dari Jaringan Pekerja Kontrak Kontrak Kerajaan (JPKK) merayu Kementerian Pendidikan campur tangan menyelesaikan kemelut yang dihadapi mereka.

Koordinator JPKK R. Mohanarani berkata, hampir kesemua pekerja pembersihan hilang punca pendapatan apabila diberhentikan kerja tanpa notis selepas lantikan kontraktor baharu dibuat di sekolah-sekolah seluruh negara.

Mohanarani berkata, selepas kontraktor baharu mengambil alih kerja pembersihan, jumlah pekerja terpaksa dikurangkan kerana Kementerian Pendidikan mengurangkan jumlah peruntukan.

"Kebanyakan diberhentikan serta-merta tanpa notis menyebabkan kami hilang punca pendapatan sedangkan kami mempunyai komitmen tetap menanggung keluarga dalam keadaan ekonomi yang sangat kritikal ini," ujarnya dalam satu sidang media di lobi kementerian itu, di sini, hari ini.

Jelasnya, kebanyakan pekerja pembersihan tersebut sudah lama berkhidmat di sekolah terlibat dan berusia lebih 40 tahun menghadapi masalah untuk mencari kerja baharu.

"Kami difahamkan Kementerian Pendidikan telah membuat beberapa perubahan kepada pengendalian sistem kontrak demi mengurangkan kos," katanya yang memberitahu kontrak perkhidmatan majikan mereka sudah ditamatkan awal Januari lalu.

"Meskipun kementerian telah menjelaskan ia bukanlah tanggungjawab kementerian berkaitan pengambilan atau penamatan pekerja kontrak dalam perkhidmatan pembersihan di sekolah, namun dasar yang dilaksanakan memberi implikasi besar dan menjejaskan pekerja kontrak selepas hilang pendapatan secara tiba-tiba," jelasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau merayu kementerian membayar pampasan berhenti kerja berasaskan tempoh masa seseorang pekerja itu berkhidmat di premis sekolah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengawal keselamatan Mohd Zain Yusof berkata, konsep kerja tiga shift yang diamalkan khidmat kawalan keselamatan di sekolah memberi impak besar terhadap pendapatan mereka.

Mohd Zain, 57, berkata, jika sebelum ini seorang pengawal keselamatan yang bekerja dalam dua shift selama 12 jam sehari mendapat gaji sebanyak RM2,100, kini mereka hilang 2/3 daripada pendapatan tersebut.

"Penurunan pendapatan secara mendadak tanpa dijangka ini membawa masalah kepada mereka yang menanggung perbelanjaan rutin bulan isi rumah," katanya.

Selain itu, katanya, pembahagian tugas pengawal keselamatan kepada tiga shift juga mewujudkan isu keselamatan pekerja.

Sehubungan itu, beliau merayu kerajaan campur tangan dengan mewujudkan semula sistem kerja dua shift kerana melalui kerja lebih masa (OT) mereka berpeluang mendapat gaji lebih banyak disebabkan gaji minima yang rendah.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya kelmarin memaklumkan bahawa kementerian tidak terlibat dalam soal pengambilan dan penamatan pekerja kontrak perkhidmatan kawalan keselamatan dan kebersihan sekolah.

Akhir bulan lalu, kementerian itu membatalkan 406 tender membabitkan pelbagai perkhidmatan di sekolah seluruh negara termasuk beberapa Kolej Matrikulasi.

Pembatalan tender itu membabitkan perkhidmatan membekal makanan bermasak, perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan serta perkhidmatan kawalan keselamatan.

Kesemua wakil NGO yang hadir kemudian dibawa ke satu perjumpaan tertutup bersama pengarah perolehan dan pengurusan aset Kementerian Pendidikan.