X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan buat kenyataan sinis desak PM letak jawatan

Bung Moktar Radin
A
A

KOTA KINABALU - Pihak pembangkang tidak seharusnya membuat kenyataan sinis bagi mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan susulan penolakan cadangan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihak pembangkang dilihat seperti menangguk di air keruh apabila membuat kenyataan mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan atas alasan moral berikutan penolakan cadangan darurat itu.

"Jika mereka menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, mereka perlu ikhlas dan berjiwa besar termasuklah menyokong pembentangan Bajet 2021 yang bakal dibentangkan pada 6 November ini demi kepentingan negara dan rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, adakah situasi kini memerlukan Muhyiddin perlu berundur sedangkan kepimpinan beliau diperakui oleh Yang Di-pertuan Agong dalam mengemudi negara menghadapi cabaran semasa terutamanya penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Katanya, tuntutan beberapa pihak yang meminta Muhyiddin meletakkan jawatan hanya untuk memuaskan nafsu mereka tetapi tidak menjamin kemelut politik negara berakhir malah akan menyebabkan lebih bercelaru,

"Kita tidak menolak wujudnya beberapa kelemahan tapi ia masih boleh diperbaiki berbanding dengan apa yang ditunjukkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan sebelum ini," katanya.

Menurut Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, seperti yang dijelaskan sebelum ini perbalahan politik perlu dihentikan segera ketika negara berhadapan dengan ujian penularan pandemik Covid-19 khususnya di Sabah yang menunjukkan perkembangan amat membimbangkan.

"Ketika ini, kita perlu berganding bahu tanpa mengira kerajaan atau pihak pembangkang untuk bersama-sama memerangi penularan semula pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan kerencatan usaha pemulihan ekonomi," kata beliau lagi.

Terdahulu, Bung Moktar turut berkata, UMNO Sabah menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong bahawa tiada keperluan untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian di dalam negara.

"Kami menjunjung kasih di atas keputusan Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-raja Melayu yang menolak permohonan pengisytiharan darurat dalam menangani ancaman wabak (Covid-19)," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik supaya menghormati keputusan Yang Di-pertuan Agong agar kestabilan dan keamanan negara terus dipelihara terutama dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19 dan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berpendapat tiada keperluan untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian di dalam negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Yang di-Pertuan Agong mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan memerangi wabak Covid-19.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!