Tempoh singkat jayakan pengisytiharan Agong ke-16

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan melafaz Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) sempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Balairung Seri, Istana Negara hari ini. Foto: Bernama
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan melafaz Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) sempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Balairung Seri, Istana Negara hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tempoh masa singkat tidak sampai sebulan bukanlah halangan untuk menjayakan istiadat bersejarah membabitkan pemasyhuran Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang dinanti-nantikan seluruh rakyat, dengan penuh meriah dan tersusun rapi.

Petugas daripada pelbagai agensi kerajaan berganding bahu untuk memastikan istiadat itu hari ini berjalan lancar.

Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela, Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, dalam tempoh yang pendek itu tugas besar terpaksa digalas bagi memastikan istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong berlangsung dengan sempurna.

“Saya berasa lega dan bersyukur istiadat yang dinanti-nantikan semua rakyat berlangsung seperti yang dirancang dan terurus.

“Meskipun jangka masa persiapan yang singkat iaitu lebih kurang 24 hari, dengan komitmen dan tanggungjawab semua kakitangan di agensi-agensi terlibat, hasilnya semuanya berjalan lancar,” katanya kepada Bernama selepas selesai istiadat itu di Istana Negara di sini hari ini.

Azuan Effendy turut menyifatkan komitmen petugas-petugas belakang tabir yang terdiri daripada penjawat awam sebagai mendukung prinsip integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi memberi perkhidmatan terbaik.

Katanya peranan penjawat awam yang bekerja tidak kira masa dan bersungguh-sungguh sepanjang persiapan istiadat itu turut menyumbang kejayaan acara di Istana Negara itu.

Mewakili petugas-petugas Istana Negara, Azuan Effendy berkata, mereka akan menumpahkan taat setia dan khidmat sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Artikel Berkaitan:

Pada istiadat itu, Azwan Effendy diberi tanggungjawab untuk mengiringi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kemudiannya membacakan kandungan surat perisytiharan menandakan bermulanya secara rasmi Sultan Abdullah sebagai Ketua Negara baharu Malaysia berdasarkan undang-undang dan Perlembagan Persekutuan.

Sultan Abdullah hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Baginda berdua dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Januari lepas, bagi tempoh lima tahun bermula hari ini. - Bernama