BDR: Ketua jabatan boleh tetapkan kaedah pantau pegawai

Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman
Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi peringatan kepada semua pegawai yang diarahkan bekerja dari rumah (BDR) supaya sentiasa berada di rumah sepanjang waktu bekerja.

Menerusi satu surat edaran peringatan yang dikeluarkan hari ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, pegawai yang BDR diingatkan sentiasa bersedia sekiranya diarah oleh ketua jabatan untuk hadir ke pejabat atau lokasi lain.

Menurutnya, pegawai terbabit juga perlu memastikan sentiasa boleh dihubungi dalam tempoh waktu bekerja.

“Sehubungan itu, ketua jabatan boleh menetapkan kaedah pemantauan masing-masing dalam memastikan serta menyemak keberadaan pegawai di pejabat, rumah atau mana-mana lokasi diarahkan.

“Pegawai yang melanggar ketetapan, ketua jabatan boleh mengambil tindakan tatatertib kerana ingkar perintah selaras dengan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Selain itu, pegawai yang melanggar peraturan dan dikenakan hukuman oleh mahkamah atau pihak berkuasa kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tindakan tatatertib boleh juga diambil kerana kesalahan mencemarkan nama perkhidmatan awam,” katanya dalam surat edaran peringatan itu di laman rasmi JPA.

Dalam surat sama, beliau berkata, ketua jabatan hendaklah memastikan semua pegawai sama ada yang bertugas di pejabat atau BDR mempunyai tugasan yang seimbang.

Menurutnya, semua tugasan yang diberi perlu mempunyai output atau keperluan pencapaian yang jelas untuk memudahkan urusan pemantauan.

Artikel Berkaitan:

“Arahan ini juga dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB: Hanya 30 peratus penjawat awam bekerja di pejabat mulai esok