Tergamak curah air kencing dalam bekas kuih peniaga

Suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Tinggi Kuala Terengganu semalam bagi mendapat perintah tahanan reman untuk siasatan selanjutnya.
Suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Tinggi Kuala Terengganu semalam bagi mendapat perintah tahanan reman untuk siasatan selanjutnya.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga tidak menyangka kenalannya tergamak melakukan khianat apabila sanggup mencurahkan air kencing ke dalam bekas kuih di atas meja jualan di kedai makan miliknya di Kampung Manir di sini.

Perbuatan keji itu diketahui lelaki berusia 35 tahun selepas melihat tiga rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kedai makannya, yang dihantar adik lelakinya menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira jam 5.30 pagi kelmarin.

Menerusi ketiga-tiga rakaman video itu, mangsa terkejut mendapati seorang lelaki yang dikenalinya dengan selamba mencurahkan air ke dalam bekas kuih yang diletakkan di atas meja makanan di hadapan kedainya.

Sejurus itu, mangsa yang ketika itu berada di kedainya terus membuat pemeriksaan sebelum mendapati air tersebut adalah air kencing selain turut menemui satu plastik air kencing diletakkan di bawah meja.

Mangsa mendakwa sebelum ini suspek memang sering kali melakukan khianat di kedainya tanpa diketahui punca dan susulan tindakan itu juga, dia mengambil keputusan memasang CCTV di beberapa sudut di dalam dan di luar kedainya sebagai bukti.

Tidak berpuas hati dengan perbuatan suspek, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya sebelum suspek ditahan.

Semalam, di Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret di sini, Majistret Noor Mazrinie Mahmood membenarkan lelaki berusia 20-an ditahan reman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Artikel Berkaitan: