Crochia gembira kembali beraksi di Ligue-1

Sebastien Corchia - Foto getfootballnewsfrance.com
Sebastien Corchia - Foto getfootballnewsfrance.com
A
A
A

SETELAH bertahun-tahun beraksi dalam saingan liga bola sepak di negara orang, pertahanan Perancis, Sebastien Corchia gembira kerana akhirnya berpeluang untuk kembali beraksi dalam saingan Ligue 1 bersama kelab Nantes.

Corchia berkata, dia akan menggunakan segala pengalamannya ketika beraksi dengan Sevilla, Benfica, Espanyol dan pernah beraksi dalam saingan Liga Europa dan Liga Juara-Juara bersama ketiga-tiga kelab berkenaan.

Dia berazam untuk memberikan aksi terbaiknya bersama Nantes dalam mengharungi saingan Ligue 1 kali ini.

“Saya gembira dengan debut saya selama 90 minit bersama Nantes dan menang di La Beaujore; ia satu permulaan yang baik buat saya.

“Secara peribadi saya percaya saya melalui perlawanan pertama yang baik di tanah air sendiri dan saya berazam untuk memberikan aksi yang lebih baik selepas ini.

“Bagi saya semuanya berhubung kait dengan keseronokan ‘bekerja’ (bermain bola sepak) dan kali ini saya kembali ke tempat asal saya dan bagi saya ia adalah keputusan yang tepat buat diri saya dan juga keluarga,” katanya.

Menurutnya, biarpun tahu mengenai kelab-kelab berkenaan yang memiliki stadium yang canggih, penyokong yang ramai, namun dia memilih Nantes kerana memikirkan keluarganya.

Selain Nantes, Corchia turut menerima tawaran daripada kelab-kelab ternama Turki, Jerman dan Itali.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu bekas kapten skuad bawah-21 (B-21) Perancis itu menyifatkan keputusannya untuk memilih Nantes sebagai satu keputusan yang tepat untuk masa depannya.

Katanya, setelah lama berkelana telah banyak yang saya dipelajarinya dan kini dia memiliki banyak pengalaman untuk dikongsikan bersama.

“Antaranya, saya juga telah memperbaiki diri daripada seorang pemain dan juga sebagai seorang insan.

“Kini saya kembali ke Perancis sebagai seorang pemain dan paling menarik usia saya ketika ini adalah usia terbaik (kemuncak) sebagai pemain bola sepak dan saya mengharapkan untuk memberikan aksi terbaik dalam karier saya sebagai seorang pemain bola sepak,” katanya.