Tun M dakwa Muhyiddin, kerajaan PN guna darurat untuk kekal berkuasa

Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggunakan cadangan darurat untuk kekal berkuasa.

Ini kerana menurut beliau, pengisytiharan darurat tidak dapat menghentikan penularan wabak koronavirus (Covid-19) kepada yang lebih baik berbanding sekarang.

Sebaliknya ujar Mahathir, darurat hanya memberi kuasa tambahan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas apa yang dilakukan setakat ini gagal mengurangkan masalah politik, ekonomi dan sosial.

"Apa yang boleh dilakukan oleh darurat untuk menghentikan wabak penyakit (Covid-19) daripada yang boleh kita lakukan sekarang? Tidak ada.

"Tetapi darurat akan memberi kuasa tambahan kepada Perdana Menteri. Dia (Muhyiddin) mempunyai Kabinet besar yang tidak menyumbang apa-apa untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

"Sebilangan besar perkara yang dilakukan adalah mengenai keadaan politik," katanya dalam satu hantaran di blognya hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, wabak Covid-19 dijadikan alasan oleh kerajaan untuk membenarkan persidangan Parlimen ditangguh, dipendekkan dan mengelak perbahasan.

Menurutnya, kerajaan PN bukan dipilih oleh rakyat tetapi berkuasa dengan cara yang tidak demokratik dan sekarang hanya fokus untuk kekal berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Berdepan dengan kemungkinan digulingkan, Perdana Menteri mahukan kuasa di bawah keadaan darurat.

"Satu-satunya keuntungan yang memihak kepada Perdana Menteri kerana Parlimen akan lumpuh. Dia akan mendakwa bahawa itu adalah kehendak istana," ujarnya.

Tambah beliau, negara lain yang berdepan dengan wabak Covid-19 tidak mengisytiharkan darurat untuk seluruh negara tetapi hanya di kawasan terjejas.

Katanya, tiada rusuhan atau keganasan dan perlanggaran undang-undang serta perintah di negara ini yang membolehkan pengisytiharan darurat.

"Sekarang Covid-19 dijadikan alasan untuk mengisytiharkan darurat. Kuasa kerajaan hari ini memadai untuk menangani wabak tersebut. Kita bukannya berdepan dengan bantahan rakyat (kepada perintah kawalan pergerakan) seperti apa yang kita lihat di AS dan Eropah.

"Rakyat kita secara umumnya sentiasa mematuhi semua larangan," katanya.